fbpx
Now Reading
Minat Golongan Muda Terhadap Bidang STEM Semakin Membimbangkan – Menteri Sains, Teknologi & Inovasi

Minat Golongan Muda Terhadap Bidang STEM Semakin Membimbangkan – Menteri Sains, Teknologi & Inovasi

Kajian Kesedaran Awam Mengenai STI Malaysia 2022 yang dilaksanakan oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), MOSTI menunjukkan wujud penurunan peratusan penglibatan pelajar dalam bidang STEM dari tahun 2017 hingga 2022 daripada 45.20% kepada 40.94%.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui negara mensasarkan penglibatan sebanyak 60% bagi golongan muda menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Walau bagaimanapun, sasaran ini dilihat amat sukar untuk dicapai kerana wujud trend penurunan penglibatan khususnya golongan muda dalam bidang STEM dan situasi ini amat membimbangkan.

Wujud Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Trend Penurunan

Isu ini nyata menarik perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Ling Kang yang menyuarakan kebimbangannya.

Menurut beliau, satu Jawatankuasa Khas dengan kerjasama empat kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan diwujudkan bagi menangani isu ini.

“Mengikut statistik, terdapat penurunan dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi, dan ini merupakan satu trend yang amat membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2030.

“Sehubungan itu, MOSTI akan tubuhkan satu jawatankuasa khas bersama KPM, KPT dan juga KSM untuk mencapai kaedah terbaik dalam mempromosikan aliran STEM ini.

“Kerja-kerja awal telah dilaksana namun jawatankuasa tersebut dijangka akan mula bermula secara rasminya dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang,” kata beliau.

Sukar Dikuasai & Pengajaran Kurang Menarik Antara Punca Wujud Trend Penurunan

Tambah beliau, antara punca yang menyebabkan wujud trend penurunan dalam bidang STEM adalah golongan muda menganggap ia sukar dikuasai, proses pengajaran yang kurang menarik serta kurang peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.

Beliau berpendapat, kerajaan bertanggungjawab dalam memupuk minat dan mempromosikan bidang STEM kepada golongan muda bermula dari peringkat awal persekolahan melalui pendidikan formal atau tidak formal.

“Dalam pada itu, kita juga menyeru pemain industri khususnya syarikat-syarikat besar dan perindustrian untuk sama-sama mengaplikasikan sains dan teknologi dalam perusahaan mereka,” ujar beliau.

Berdasarkan kajian Kesedaran Awam Mengenai STI Malaysia 2022 yang dilaksanakan oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI, hasil kajian menunjukkan wujud penurunan peratusan penglibatan pelajar dalam bidang STEM dari tahun 2017 hingga 2022 daripada 45.20% kepada 40.94%.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.