Pengerusi MARA Cadang Kembalikan Semula UPSR, Boleh Nilai Potensi Sebenar Pelajar Sebelum ke MRSM
Namun, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa peperiksaan UPSR tidak akan dikembalikan semula.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Masihkah anda ingat mengenai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)? Ia merupakan antara peperiksaan utama yang diduduki oleh pelajar tahun enam sekolah rendah di Malaysia sebelum beralih ke fasa sekolah menengah.
Ia juga menjadi pengukur buat murid sekolah rendah yang berminat untuk menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh.
Namun, pada tahun 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pemansuhan sepenuhnya peperiksaan ini dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Manakala, buat pelajar yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh, ia digantikan dengan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan sebagainya.
Cadang Kembalikan Semula UPSR, Nilai Potensi Sebenar Pelajar
Isu ini turut menarik perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya berpendapat ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menyukarkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.
Tambah beliau, ketiadaan UPSR turut menjadi faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah.
“Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR, sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.
“Salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tanpa sistem penilaian berpusat seperti UPSR sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar. Salah satu faktor pencapaian ujian kemasukan ke MRSM rendah juga disebabkan tiadanya UPSR.
Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Tuesday, 21 November 2023
Hantaran Undang Pelbagai Reaksi Warganet
Hantaran tersebut nyata mengundang pelbagai reaksi daripada warganet. Rata-ratanya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh beliau dan mahu UPSR dikembalikan semula.
Ada juga yang turut mencadangkan agar pihak MRSM melakukan ujian khas sebagai syarat kemasukan ke institusi tersebut.
Namun, terdapat segelintir warganet yang tidak bersetuju kerana bagi mereka ujian tersebut hanya akan membebankan murid dan guru.
KPM Jelas UPSR Tidak Akan Dikembalikan Semula
Terbaharu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan bahawa peperiksaan itu tidak akan dikembalikan semula.
Ini kerana KPM kekal dengan pendirian mahu memfokuskan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum sekolah baharu demi memastikan pendidikan masa hadapan yang kukuh.
Tambah beliau, kurikulum tersebut amat penting terutama selepas pemansuhan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2021 serta mahu memastikan pihak berkepentingan memahami matlamat yang disasarkan KPM.
“Ini adalah kurikulum baharu yang pastinya akan ditunggu ramai pemegang taruh, khususnya apabila kita menghapuskan UPSR dan PT3, dan memberikan tumpuan kepada pentaksiran.
“Jadi ini adalah konteks yang perlu difahami dan disebarluaskan dalam masyarakat, khususnya supaya ibu bapa, guru dan komuniti pendidikan mendapat manfaat daripada perbahasan mengenai mengukuhkan pentaksiran ini,” kata beliau.
Berikut antara komen warganet:
Setuju Dr. Adanya UPSR, Pemilihan Lebih Telus & Adil
Saya Setuju, Susah Nak Nilai Status Pengetahuan Anak-Anak
Tak Kisahla Nak Letak Nama Apa Pun, Wajib Buat Peperiksaan Besar Untuk Tahun 6
Mungkin Boleh Mulakan Satu Ujian Khas Untuk Masuk MRSM
UPSR Buat Guru-Guru & Ibu Bapa Kalut, Beri Tekanan Kepada Pelajar
Tak Setuju, Stres Untuk Pelajar Bawah 12 Tahun
Baca Artikel Berkaitan: Ambil Kira Kekangan Masa Murid, PT3 2021 Dibatalkan & UPSR Dimansuhkan
Baca Artikel Berkaitan: KPM & Lembaga Peperiksaan Tiada Kaitan Dengan UPSRx dan PT3x