fbpx
Now Reading
29,000 Graduan Menganggur Selepas 6 Bulan Tamat Pengajian Pada Tahun 2022 – Menteri Pendidikan Tinggi

29,000 Graduan Menganggur Selepas 6 Bulan Tamat Pengajian Pada Tahun 2022 – Menteri Pendidikan Tinggi

Menurut Khaled Nordin, pihaknya juga mendapati ramai graduan pasca siswazah belum memperolehi pekerjaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Memiliki pekerjaan idaman setelah tamat belajar merupakan impian setiap mahasiswa selepas bergraduasi.

Namun, hakikatnya pada masa kini, memperoleh apa sahaja pekerjaan dalam tempoh yang singkat khususnya membabitkan fresh grad bukanlah satu perkara yang mudah.

Tidak semua individu bernasib baik mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakan. Malah, ada yang terpaksa menunggu beberapa bulan bagi memperolehi tawaran pekerjaan.

29,000 Graduan Tahun 2022 Tidak Dapat Kerja Selepas 6 Bulan Tamat Belajar

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebanyak 29,000 atau 9.8% daripada 295,962 graduan belum mendapat pekerjaan enam bulan selepas tamat belajar pada tahun 2022.

Walau bagaimanapun, jumlah itu berkurangan berbanding seramai 41,467 atau 14.5% daripada 286,299 graduan yang dicatatkan pada tahun 2021.

Menurut beliau, jumlah itu adalah berdasarkan data rasmi daripada Sistem Kajian Pengesanan Graduan yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kebolehpasaran graduan diberikan perhatian sangat serius oleh KPT.

“Memang tidak dinafikan bahawa bilangan siswazah dalam negara meningkat setiap tahun.

“Bagaimanapun, kadar pengangguran siswazah mengalami penurunan sebanyak 0.4% untuk mencatatkan 3.7% pada 2022, berbanding 4.1% pada 2021,” kata beliau ketika menggulung perbahasan Jawatankuasa KPT di Dewan Rakyat semalam (27 November).

Ramai Graduan Pasca Siswazah Juga Tidak Mendapat Pekerjaan

Tambah beliau lagi, pihaknya juga mendapati ramai graduan pasca siswazah belum memperolehi pekerjaan.

Ini kerana tidak banyak pusat atau institusi penyelidikan baik kerajaan mahupun swasta yang boleh menawarkan kerja kepada kumpulan berkenaan.

“Jadi itu satu perkara yang kita tidak menafikan hakikat, bagaimanapun KPT sudah melaksanakan inisiatif secara berterusan bagi memastikan bakat dan kemahiran yang pelbagai dapat diberikan kepada siswazah kita.

“Antaranya kita melaksanakan semakan dan penambahbaikan kurikulum secara berkala dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi memastikan pelajar yang mengambil bidang berkenaan mempunyai daya saing serta keboleh pasaran yang tinggi sebaik saja menamatkan pengajian,” ujar beliau.

KPT Tiada Kawalan Terhadap Tindakan Atau Kelakuan Pemegang PhD

Ketika menjawab gesaan Ahli Parlimen Jelutong agar KPT memeriksa Doktor Falsafah (PhD) yang dikeluarkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), beliau menjelaskan bahawa KPT tidak mempunyai kawalan terhadap tindakan, kenyataan atau kelakuan oleh pemegang PhD.

“Kalau pun ada seseorang yang mempunyai PhD itu, dia tak semestinya menjadi pakar atau sempurna dan mengetahui segala-galanya.

“Dia mungkin pakar bidang dia tapi yang lain-lain, dia mungkin tidak mendalam dalam perkara itu…Jadi atas sebab itulah, kita berhadapan dengan keadaan seperti yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat,” ujarnya.

Malah, beliau memberi jaminan KPT akan mengawal dengan lebih ketat dalam menentukan individu yang boleh mengikuti program PhD dan sebagainya.

“Memang amat malanglah, lebih-lebih lagi ia berlaku sebagai mereka yang keluar daripada sebuah universiti ternama seperti USM,” katanya lagi.

Difahamkan gesaan ini ada kaitan dengan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura berikutan kontroversi mengaitkan pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Baca Artikel Berkaitan: Majikan Wajib Pamer Kadar Upah, Elak Graduan Dibayar Gaji Rendah – Pakar Ekonomi

Baca Artikel Berkaitan: KPT Bekerjasama Dengan Tata Consultancy Services Malaysia Untuk Bangunkan Bakat Graduan Digital

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.