
Kes Rasuah RM2.8 Juta Unit Amanah: Bung Moktar, Zizie Dilepas & Dibebaskan [Video]
Hakim memerintahkan Bung yang juga Pengerusi BN Sabah dan Zizie dilepaskan dan dibebaskan (DAA) daripada semua pertuduhan jenayah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini (7 September) membenarkan permohonan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk membatalkan perintah supaya mereka membela diri dalam kes rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Azhar Abdul Hamid pada petang ini membenarkan permohonan semakan oleh pasangan itu yang menyasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lepas.
Zizie menangis di dalam kandang tertuduh
Menurut laporan MalaysiaKini, selepas keputusan itu, Zizie dilihat menangis di dalam kandang tertuduh sambil suaminya berada di sebelahnya.
Hakim memerintahkan pasangan itu dilepaskan dan dibebaskan (DAA) daripada semua pertuduhan jenayah.
Bung Moktar bersyukur beliau dan isteri dibebaskan
Dalam pada itu, menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun X (Twitter) @bernamadotcom, Ahli Parlimen Kinabatangan itu memanjatkan rasa syukur selepas mahkamah membebaskan beliau dan isterinya.
Bung Moktar turut menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada seluruh pasukan peguam yang mewakilinya serta orang ramai yang mendoakannya.
“Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana mahkamah telah membebaskan saya dan isteri pada hari ini dan saya berterima kasih kepada pasukan peguam saya dan kepada semua yang mendoakan saya,” katanya.
[TERKINI] Mahkamah Tinggi KL melepas dan membebaskan Bung Moktar dan isteri Zizie Izette daripada tiga tuduhan rasuah
— BERNAMA (@bernamadotcom) September 7, 2023
📸 Diana Barka | BERNAMA#BernamaNews pic.twitter.com/eyvDK0ieyo
Terdahulu pihak pendakwaan berjaya buktikan kes prima facie
Terdahulu pada 2 September 2022, Hakim Perbicaraan Mahkamah Sesyen iaitu Rozina Ayob memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar dan isterinya selain memerintahkan kedua mereka untuk membela diri.
Sekadar info, Bung Moktar dan Zizie sebelum didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah bernilai RM2.8 Juta berhubung pelaburan unit amanah.