fbpx

Doktor Swasta Diarah Bayar RM335,000 Kerana Cuai Atas Kematian Isteri Bekas Pemain Hoki Negara

Menurut Pesuruhjaya Kehakiman, doktor berkenaan juga telah mengakui bertanggungjawab ke atas tuntutan yang dikemukan oleh bekas pemain hoki kebangsaan itu, Avtar Singh.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang doktor di sebuah hospital swasta diarah membayar ganti rugi sebanyak RM335,000 kepada bekas pemain hoki negara, Avtar Singh bagi pihak mendiang isterinya yang meninggal dunia 10 bulan selepas mengalami strok pangkal otak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman cuai terhadap doktor berkenaan pada hari ini (15 November).

Pesuruhjaya Kehakiman benarkan tuntutan saman oleh Avtar Singh

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Avtar Singh terhadap doktor berkenaan yang memeriksa, mendiagnos dan merawat isterinya, Salinder Kaur.

Dalam penghakiman bertulis tersebut, mahkamah membenarkan ganti rugi khas sebanyak RM234,624.09 dan ganti rugi am RM100,000 serta kos RM40,000 kepada plaintif (Avtar).

“Saya berpendapat bahawa jumlah RM100,000 itu wajar memandangkan mendiang terlantar di atas katil selama hampir 10 bulan sebelum meninggal dunia akibat strok pangkal otak,” kata Raja Ahmad dipetik Awani.

Doktor terbabit akui bertanggungjawab atas tuntutan plaintif

Menurut Raja Ahmad, doktor berkenaan juga telah mengakui bertanggungjawab ke atas tuntutan yang dikemukakan oleh Avtar.

“Adalah jelas daripada pindaan semula kenyataan tuntutan bahawa doktor berkenaan telah mengakui setiap aspek tuntutan kecuaian yang dibuat terhadapnya.

“Apabila sesuatu kejadian berlaku selepas hospital telah mengambil langkah penjagaan yang wajar seperti yang saya temui dalam kes ini, liabiliti seharusnya semata-mata terletak pada doktor berkenaan,” katanya lagi.

Tuntutan Avtar terhadap hospital swasta terbabit bagaimanapun ditolak

Pun begitu, Raja Ahmad menolak tuntutan plaintif sebanyak RM30,000 terhadap hospital swasta berkenaan yang terletak di Kelana Jaya selepas memerintahkan bahawa pusat perubatan berkenaan tidak bertanggungjawab.

Avtar Singh yang berumur 68 tahun sebelum ini merupakan pemain skuad hoki kebangsaan yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik 1976 dan 1980 selain pernah menyertai Piala Dunia pada tahun 1978 serta 1981.

“Akibat kejadian tragis menimpa isterinya (Salinder), beliau terpaksa melepaskan semua kepentingannya termasuk sebagai jurulatih untuk memberi sepenuh masanya bagi menjaga isterinya.”

Menurut pernyataan tuntutan difailkan pada 2019 oleh Avtar, mendiang isterinya dibawa ke jabatan kecemasan hospital berkenaan pada 21 Ogos 2016 selepas mengalami sakit teruk dan kebas pada lengan kiri sebelum menerima rawatan di tempat sama.

Doktor terbabit didakwa jalankan tugas di luar bidang kelayakan

Jelas Raja Ahmad lagi, ada dakwaan bahawa doktor berkenaan menjalankan tugas di luar bidang kelayakannya dan gagal mendiagnos dengan betul kerana hospital terbabit tidak mempunyai peralatan perubatan yang sepatutnya menyebabkan Salinder terpaksa dipindahkan ke hospital lain.

Bagaimanapun keadaan Salinder yang tidak beransur pulih menyebabkan dia yang pada ketika itu dalam keadaan lumpuh dibawa pulang ke rumah sebelum meninggal dunia pada 19 Jun 2017.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.