fbpx
Now Reading
Kes Terpotong Zakar Ketika Khatan, Mahkamah Rayuan Pinda Ganti Rugi Dari RM3.1 Juta Kepada RM123,556

Kes Terpotong Zakar Ketika Khatan, Mahkamah Rayuan Pinda Ganti Rugi Dari RM3.1 Juta Kepada RM123,556

Ketiga-tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan itu merasakan jumlah ganti rugi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini terlalu tinggi dan ada di antara tuntutan tidak disokong dengan mana-mana dokumen.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (18 September), Mahkamah Rayuan telah meminda dan memutuskan bahawa seorang lelaki berusia 22 tahun hanya akan menerima ganti rugi sebanyak RM123,556 berbanding RM3.1 juta.

Ganti rugi itu adalah ekoran daripada alat sulitnya yang terpotong ketika berkhatan pada 12 tahun yang lalu sewaktu pemuda berkenaan berusia 10 tahun.

Panel Tiga Hakim Rasa Denda Terlalu Tinggi

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ravintharan Paramaguru serta dua lagi hakim yang lain iaitu Datuk See Mee Chun dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Ketiga-tiga panel tersebut merasakan jumlah ganti rugi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini terlalu tinggi dan ada di antara tuntutan tidak disokong dengan mana-mana dokumen.

“Kami tidak berhasrat untuk menggangu dapatan yang dibuat oleh hakim terdahulu berhubung isu liabiliti yang mendapati kesemua perayu telah cuai apabila melengahkan rawatan yang sepatutnya diberikan kepada responden (pemuda itu) sehinggalah pembedahan dilakukan pada pukul 8.30 malam.

“Bagaimanapun, bagi isu ganti rugi, kami mendapati campur tangan daripada pihak kami. Tuntutan bagi kos perundangan dan kehilangan pendapatan kerana menjaga anak dibatalkan disebabkan tiada sebarang bukti tuntutan.

“Ganti rugi am sebanyak RM2,000,000 adalah terlalu tinggi dan tidak disokong oleh sebarang dokumentasi. Oleh itu kami hanya memberikan RM100,000 bagi ganti rugi am.

“Ganti rugi teladan dan punitif yang masing-masing berjumlah RM500,000 setiap satu turut dibatalkan kerana ia tidak pernah dimasukkan dalam pliding saman,” kata Hakim Ravintharan.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, perayu terdiri daripada Kerajaan Malaysia, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis Pahang, Pengarah Hospital, doktor pakar dan Pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Mereka diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan manakala responden yang merupakan pemuda berkenaan diwakili peguam, Mohamad Zainuddin Abu Bakar.

Mahkamah Tinggi Sebelum Ini Putuskan Defendan Lakukan Kecuaian

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Akhtar Tahir, telah memerintahkan kesemua defendan (perayu) membayar ganti rugi sebanyak RM3.1 Juta pada 7 April 2022 kepada pemuda berkenaan selepas memutuskan mereka telah melakukan kecuaian.

Menurut penghakiman, kelewatan Hospital Kuala Lipis, Hospital Selayang dan beberapa pegawai perubatan termasuk doktor pakar dalam memberikan rawatan pantas telah menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Tambah beliau lagi, ganti rugi itu juga tidak dapat menampung ‘kerugian’ yang dialami oleh mangsa namun mahkamah perlu memberi ganti rugi yang dapat membantu pemuda berkenaan memperoleh keyakinan sama seperti manusia yang lain.

Jumlah 3.1 juta yang ditetapkan itu merangkumi tuntutan ganti rugi khas sebanyak RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 yang perlu dibayar kepada pemuda itu.

Untuk info, insiden malang itu berlaku di rumah mangsa yang terletak di Kuala Lipis ketika dia berusia 10 tahun.

Ketika kejadian, keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dibuat mengikut prosedur yang betul.

Mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Lipis dan ke Hospital Selayang pada jam 3.20 petang bagi proses pembedahan sambungan semula alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar jam 8.20 malam.

Walau bagaimanapun, ibu mangsa terkejut melihat alat sulit anaknya tidak lagi berada pada batang zakarnya pada hari yang ke-35. Malah, laporan perubatan juga menyatakan mangsa telah kehilangan 90% daripada zakarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.