fbpx
Now Reading
Isa Samad Dilepaskan & Dibebaskan Dari 9 Pertuduhan Rasuah RM3 Juta, Hakim Jelaskan Ini Sebabnya

Isa Samad Dilepaskan & Dibebaskan Dari 9 Pertuduhan Rasuah RM3 Juta, Hakim Jelaskan Ini Sebabnya

Menurut Ketua Hakim Mahkamah Rayuan, pihak pendakwaan telah membentangkan dua naratif berbeza mengenai kes terbabit iaitu dalam pertuduhan dan pernyataan pembukaan mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pagi tadi (6 Mac), tiga hakim di Mahkamah Rayuan Putrajaya telah sebulat suara melepaskan dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Panel hakim yang diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S. M Komathy Suppiah membenarkan rayuan Mohd. Isa selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Bayaran dibuat tidak disokong dengan bukti boleh dipercayai

Menurut Awani, ketiga-tiga hakim membenarkan rayuan terbabit kerana bayaran pertuduhan suapan itu tidak disokong bukti yang boleh dipercayai.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer berkata dapatan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 lalu bahawa bayaran telah dibuat kepada perayu melalui dua saksi, akan tetapi ia tidak disokong dengan bukti boleh dipercayai.

Dua individu itu ialah saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md Arip yang ketika itu pegawai khas politik Mohd Isa dan SP16, bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

“Ia berdasarkan keterangan, SP16 dikatakan telah membuat sembilan pembayaran kepada SP21 tetapi tiada bukti yang menunjukkan perayu telah menerima bayaran tersebut,” katanya.

Suapan wang diberikan kerana risau perayu batalkan kontrak

Menurutnya, Mahkamah Tinggi juga membuat dapatan bahawa suapan diberi oleh SP16 kerana bimbang perayu boleh membatalkan kontrak penjualan MPHS kerana Mohd Isa pada ketika itu ialah Pengerusi Felda.

“Bagaimanapun, kami bersetuju dengan pembelaan perayu bahawa, pertuduhan menjadi cacat kerana isu yang menyentuh kebimbangan perayu boleh membatalkan kontrak, tidak dinyatakan dalam mana-mana sembilan pertuduhan,” katanya lagi.

Pihak pendakwaan bentangkan 2 naratif berbeza

Tidak hanya itu, beliau berkata pihak pendakwaan turut membentangkan dua naratif berbeza mengenai kes terbabit iaitu dalam pertuduhan dan pernyataan pembukaan mereka.

Jelas Vazeer, pihak pendakwaan menyatakan suapan itu adalah ganjaran untuk membantu meluluskan pembelian MPHS yang mana kemudiannya ditukar kepada dorongan supaya perayu (Mohd. Isa) tidak mengganggu kontrak pembelian.

Menurutnya lagi, persoalan mula timbul mengenai Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang digunakan oleh hakim perbicaraan dalam memutuskan sama ada kes prima facie telah diwujudkan terhadap perayu sebagai suatu ganjaran atau dorongan.

Pertuduhan tidak boleh ditukar di pertengahan jalan

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak boleh menukar pertuduhan di pertengahan perbicaraan dengan secara tiba-tiba kerana mereka perlu mematuhi butir-butir pertuduhan yang telah dinyatakan.

“Menjadi undang-undang bahawa perayu mesti mempunyai dokumen yang jelas mengenai perkara yang didakwa kerana jika tidak dia akan diprejudis secara serius dalam pembelaannya.

“Jika berlaku dua versi percanggahan kes pendakwaan, maka kekaburan yang timbul perlu diselesaikan,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf

Susulan itu, panel tiga hakim ini mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan kes prima facie berdasarkan keterangan SP16.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata, pihaknya perlu berbincang dengan Peguam Negara (AG) sebelum memutuskan sama ada merayu atau sebaliknya berhubung keputusan itu.

Mahkamah Tinggi pada 2021, sabitkan Mohd. Isa atas 9 pertuduhan rasuah bernilai RM3 juta

Terdahulu, pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd. Isa, 75, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan atas sembilan pertuduhan rasuah bernilai RM3 juta berkaitan pembelian MPHS.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi pada ketika itu Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.