fbpx

“Masuk Sebab Apendiks, Tapi Sebab Doktor Cuai Kaki Saya Hilang” – Lelaki Saman Hospital Akibat 2 Kaki Dipotong

Menurut Isman Ibrahim, pembedahan tidak berjalan dengan baik apabila doktor menebuk dan mengikat saluran darah utama sehingga menyebabkan kedua-dua kaki menjadi hitam atau gangren.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kecuaian yang dilakukan terkadang bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri, malah terhadap orang lain.

Begitulah nasib yang menimpa seorang jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila mendakwa dirinya menjadi cacat seumur hidup angkara kecuaian doktor bedah di sebuah hospital swasta terkemuka.

Doktor cuai punca dua kaki terpaksa dipotong

Difahamkan, kecuaian doktor bedah di hospital berkenaan menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada lima tahun lalu.

Susulan itu, jurutera berkenaan yang dikenali sebagai Isman Ibrahim berusia 41 tahun telah memfailkan saman terhadap hospital terbabit di Mahkamah Tinggi.

“Saya masuk hospital sebab apendiks tetapi sebab doktor cuai, kaki saya hilang. Prosedur pembedahan tidak berjalan dengan baik apabila doktor menebuk dan mengikat saluran darah utama sehingga menyebabkan kedua-dua kaki menjadi hitam atau gangren.

“Hospital itu kemudian memindahkan saya ke hospital swasta lain. Pemeriksaan lanjut menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya dipetik Berita Harian.

Isman berkata demikian selepas prosiding kes saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim semalam (15 April).

Dua kaki dipotong hingga ke paras peha, terpaksa buat pintasan saluran darah

Menurutnya, pemotongan kedua-dua kaki dibuat hingga ke paras paha, selain perlu menjalani pembedahan pintasan saluran darah.

“Semasa semua ini terjadi, isteri saya mengandung anak keempat. Hati siapa tidak sedih apabila melihat diri sudah tidak seperti dulu.

“Selama 10 hari terpaksa sorokkan nasib yang menimpa saya daripada tiga anak lain sebelum mereka menangis melihat keadaan terbaharu saya,” katanya.

Alami penderitaan sakit saraf teruk setiap dua hari

Menurutnya lagi, dia juga mengalami penderitaan sakit saraf teruk setiap dua hari sejak lima tahun lalu menyebabkan dia sukar untuk tidur lena.

“Setiap dua hari bermula jam 2 pagi saya akan mengalami kesakitan serta ada bahagian badan terganggu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat.

“Saya nekad bawa kes ini ke mahkamah untuk menunjukkan dan membongkar isu kecuaian pihak hospital. Saya pasti banyak kes didiamkan dan berharap mereka yang senasib tampil ke depan,” katanya.

Sementara itu, peguam belanya, Firhat Muhd Fikri Isman, memaklumkan prosiding terbabit sepatutnya untuk perbicaraan, namun pihaknya akan memfailkan semula tuntutan saman seperti dipersetujui anak guam.

“Tuntutan saman awal adalah RM55 juta dan pemfailan semula bagi memastikan kebajikan anak guam terjamin termasuk mendapatkan kos sebenar bagi kaki palsu.

“Kita mahu anak guam menjalani kehidupan seperti biasa. Pemfailan semula tuntutan akan dibuat dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.