fbpx
Now Reading
Bekas Pelajar Tingkatan Enam Saman Sekolah Gara-Gara Tak Dapat Masuk 15 Universiti Termasuk Harvard

Bekas Pelajar Tingkatan Enam Saman Sekolah Gara-Gara Tak Dapat Masuk 15 Universiti Termasuk Harvard

Berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Januari lalu, bekas pelajar berkenaan mendakwa pihak sekolah gagal memberi kerjasama dan bantuan kepadanya dengan memastikan defendan lain bertindak mengikut perjanjian dan buku panduan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Melanjutkan pengajian ke menara gading merupakan impian bagi setiap pelajar. Bagi memastikan impian itu tercapai, sudah pastinya kerja keras diperlukan bagi mendapat keputusan peperiksaan yang baik.

Ini kerana keputusan yang cemerlang boleh meningkatkan peluang seseorang itu mendapat tempat terutama di universiti terkemuka.

Namun, berbeza pula dengan apa yang dihadapi oleh seorang pelajar tingkatan enam dari sebuah Sekolah Antarabangsa di Kuala Lumpur apabila dia tidak diterima masuk lebih daripada 15 universiti termasuk Harvard walaupun mempunyai keputusan yang cemerlang.

Surat Cadangan Tidak Mengikut Syarat & Standard Jadi Punca Pelajar Gagal Masuk Ke Universiti

Ekoran daripada ini, seorang wanita berusia 22 tahun yang merupakan pelajar tingkatan enam dari Ogos 2018 hingga Julai 2020 bertindak memfailkan saman terhadap lima pihak termasuk sekolah dan pengetuanya.

Saman dibuat oleh pelajar berkenaan bersama ibu bapanya sebagai plaintif kerana pihak sekolah didakwa gagal membantunya memasuki 15 universiti terkemuka di Amerika Syarikat termasuk Harvard, Stanford dan Yale.

Sekolah, pengetua, kaunselor, ketua tingkatan enam dan syarikat mengawal operasi sekolah dinamakan sebagai defendan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Januari lalu, wanita berkenaan mendakwa pihak sekolah gagal memberi kerjasama dan bantuan kepadanya dengan memastikan defendan lain bertindak mengikut perjanjian dan buku panduan.

“Defendan pertama (sekolah) gagal, cuai dan enggan menyediakan serta memberi plaintif surat cadangan mengikut kehendak dan amalan standard untuk tujuan permohonan ke universiti AS berpangkat atasan.

“Defendan pertama secara salah mengeluarkan surat cadangan ditandatangani oleh defendan ketiga dan keempat (masing-masing kaunselor dan ketua Tingkatan Enam), yang bukannya mengikut kehendak dan amalan standard.

“Defendan pertama gagal, cuai dan enggan memberi sebarang klarifikasi kepada beberapa universiti itu walaupun dimaklumkan atas kegagalan dalam memenuhi kehendak dan amalan standard dalam surat cadangan,” katanya.

Sekolah Gagal Upah Kaunselor Yang Bertauliah & Berdaftar

Pelajar berkenaan juga mendakwa sekolah itu turut bertindak mengupah defendan ketiga sebagai kaunselor sekolah namun statusnya difahamkan tidak berdaftar.

“Defendan pertama gagal, cuai dan gagal untuk bertindak segera memperbetulkan kesusahan dialami plaintif.

“Ia dengan memaklumkan universiti berpangkat atasan atas kecuaian yang sebenarnya dilakukan defendan,” katanya.

Alami Kerugian Peluang Kerjaya & Wang Ringgit

Dia yang juga merupakan pemegang biasiswa turut didakwa mengalami kerugian peluang kerjaya masa depan serta RM5,476 bagi permohonan kemasukan ke universiti terbabit.

“Plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan melanggar perjanjian dan melakukan kecuaian.

“Satu injunksi wajib bahawa defendan secara bersama dan berasingan merangka, menyedia serta menyampaikan penyataan bertulis kepada universiti terbabit.

“Ia bagi menerangkan, mengakui kesilapan dan kecuaian diakibatkan oleh defendan-defendan atau mana-mana satu daripada mereka,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Di Sabah Saman Guru Bahasa Inggeris Kerana 7 Bulan Tak Masuk Mengajar

Baca Artikel Berkaitan: 3 Pelajar Menang Saman, Dapat Pampasan RM50,000 Selepas Guru Ponteng Mengajar 7 Bulan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.