fbpx
Now Reading
Isu Tiada Kenderaan Bawa Pulang Mayat Dua Wanita Orang Asli, JAKOA Hulur Bantuan

Isu Tiada Kenderaan Bawa Pulang Mayat Dua Wanita Orang Asli, JAKOA Hulur Bantuan

Media sebelum ini melaporkan dua mayat wanita Orang Asli di Hospital Kuala Lipis tidak dapat dibawa pulang kerana tiada kenderaan disediakan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kematian ahli keluarga sememangnya satu perkara yang amat menyedihkan bagi setiap insan. Jika boleh, kita sebagai waris yang masih hidup pasti mahu memberikan yang terbaik dan menguruskan jenazah atau mayat buat kali terakhir.

Namun, tidak semua orang bernasib baik dapat menguruskan urusan pengebumian dengan sempurna dan lancar.

Mayat Ahli Keluarga Tidak Dapat Dibawa Pulang Kerana Tiada Kenderaan

Begitulah yang dihadapi oleh keluarga orang Asli dari Kampung Lenjang dan Kampung Sinderut, Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang.

Gara-gara tiada kenderaan pihak berkuasa berkaitan, dua mayat wanita orang asli dari kampung berkenaan tidak dapat dibawa pulang dan disemadikan.

Menurut suami mendiang yang dikenali sebagai Amri Bah Jong, mayat isterinya Erra Fazira Hamzah tidak dapat dibawa pulang ke kediaman mereka yang terletak di Kampung Sinderut iaitu 170 Kilometer (KM) dari Kuala Lipis untuk disemadikan.

“Saya sudah tiga hari di sini, menunggu isteri sakit sebelum dia meninggal dunia awal pagi ini sehingga tiada wang lagi untuk digunakan bagi membayar sewa kenderaan.

“Mayat isteri saya sudah dibenarkan untuk dibawa pulang oleh pihak hospital tetapi tiada kenderaan pula untuk membawanya balik kerana tiada kenderaan untuk ke Kampung Sinderut, ” katanya.

Tambah Amri, dia telah cuba menghubungi pihak berkaitan bagi mendapatkan bantuan kenderaan namun gagal.

“Saya dimaklumkan, ketiadaan kenderaan pihak berkaitan untuk menghantar mayat pulang ke kampung kerana difahamkan kenderaan milik sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Orang Asli di sini rosak,” katanya lagi.

Penduduk Orang Asli Lain Turut Alami Nasib Sama

Selain Amri, seorang penduduk dari Kampung Lenjang yang dikenali sebagai Rosnan Bah Ding turut mengalami nasib yang sama.

“Isteri saya mendapat rawatan selepas dipercayai jangkitan COVID-19 dan disahkan meninggal dunia dua hari lalu dan mayat dibenarkan dibawa pulang tetapi masalahnya saya tidak mempunyai kenderaan.

“Tidak ada kenderaan lain yang sanggup menghantar mayat ini pulang ke kampung melainkan kenderaan milik agensi kerajaan berkenaan, saya memohon bantuan pihak lain selepas menghubungi pihak berwajib tetapi tidak menjawab panggilan,” jelasnya.

Jakoa Bantu Beri Bantuan Kenderaan, Hantar Mayat Pada Jumaat

Terbaharu, usaha membawa pulang mayat dua wanita tersebut ke kampung masing-masing telah dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada hari ini (15 Disember).

Menurut Pengarah Jakoa Pahang Johari Alwi, kes itu sebenarnya telah ditangani oleh Jakoa Lipis pada Rabu (13 Disember) namun berlaku kelewatan perkhidmatan penghantaran disebabkan keadaan semasa dan kenderaan jenazah berada di Pekan, Pahang.

“Jakoa Lipis berusaha dengan cuba mendapatkan bantuan daripada pihak lain, namun disebabkan kematian dua wanita itu disebabkan jangkitan Covid-19 dan perlu dihantar ke kawasan pedalaman maka tidak ada pihak yang sanggup membantu.

“Dalam hal ini, kakitangan Jakoa Pahang telah dimaklumkan perkara tersebut serta arahan daripada Pejabat Pengarah Negeri supaya kenderaan jenazah daripada Jakoa Pekan akan bergerak segera ke Hospital Lipis, namun disebabkan tugasan lain berlaku sedikit kelewatan,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Tambah beliau lagi, kenderaan tersebut juga perlu diservis terlebih dahulu kerana jarak perjalanan ke kampung tersebut yang jauh menyebabkan urusan tersebut perlu dilakukan pada hari Jumaat (15 Disember).

Jakoa Anggap Salah Faham Telah Berlaku, Sedia Beri Bantuan

Malah, pihaknya menganggap telah berlaku salah faham disebabkan penyampaian maklumat yang kurang difahami oleh waris mendiang kerana masing-masing berada dalam keadaan sedih dan tertekan dengan kematian tersebut.

“Pihak Jakoa sebenarnya maklum serta cakna masalah yang dihadapi oleh waris berkenaan dan urusan penghantaran kedua-dua mayat itu ke kampung masing-masing segera dilakukan apabila kenderaan berkenaan tiba di Lipis.

“Jakoa sentiasa bersedia untuk membantu menguruskan penghantaran jenazah sekiranya diperlukan walaupun di mana lokasi penghantaran malahan ribuan jenazah masyarakat Orang Asli telah dihantar pulang ke lokasi yang diminta sebelum ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan kelewatan berlaku kerana jenazah Covid-19 memerlukan pengendalian khas selain kenderaan yang bersesuaian.

Ini kerana urusan pengendalian kes Covid-19 bukan di bawah seliaan Jakoa.

“Sebenarnya urusan pengendalian kes-kes Covid-19 bukan di bawah tanggungjawab pihak Jakoa dan ianya perlu diuruskan oleh pihak yang mempunyai kepakaran dan bertanggungjawab atas perkara kesihatan.

“Namun disebabkan percubaan awal pihak Jakoa untuk mendapatkan bantuan pihak terlatih dan bertanggungjawab tidak berjaya kerana faktor jarak yang jauh ke pedalaman.

“Oleh itu, jabatan bersedia mengambil risiko besar menguruskannya,” kata Johari lagi.

Baca Artikel Berkaitan: “Khidmat Terakhir” – Lelaki Sebak Bantu Bawa Turun Jenazah Rakan Dari Atas Kren Menara [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Hari Terakhir” – Lelaki Tidur Sebelah Jenazah Bapa Buat Ramai Sebak [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.