fbpx
Now Reading
Guru Dipecat Tidak Hadir Ke Sekolah 1,535 Hari Kerana Fobia Air Gagal Dapat Kebenaran Merayu

Guru Dipecat Tidak Hadir Ke Sekolah 1,535 Hari Kerana Fobia Air Gagal Dapat Kebenaran Merayu

Menurut Presiden Mahkamah Rayuan, permohonan guru berkenaan gagal memenuhi kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang guru sekolah rendah gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan proses rayuannya bagi membolehkan dia dilantik semula sebagai pendidik selepas dipecat.

Guru yang dikenali sebagai Yahaya Wahi berusia 44 tahun itu merayu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pemecatannya kerana tidak hadir ke sekolah selama 1,535 hari adalah sah.

Keputusan dibuat oleh panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Gagal penuhi kehendeak Seksyen 996 Akta Mahkamah Kehakiman 1964

Menurut Abang Iskandar, di dalam penghakimannya, permohonan guru berkenaan gagal memenuhi kehendak Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Tiada persoalan undang-undang yang baharu atau isu kepentingan awam yang perlu diputuskan dengan lebih lanjut,” katanya dipetik Sinar Harian.

Perlu kebenaran untuk teruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Difahamkan, individu yang ingin meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan perlulah memperoleh kebenaran dahulu untuk berbuat demikian.

Selain itu, perayu juga hendaklah meyakinkan mahkamah bahawa rayuan itu mengandungi persoalan undang-undang baharu yang mempunyai kepentingan awam serta dibangkitkan buat pertama kali untuk diputuskan mahkamah.

Yahaya dipecat daripada perkhidmatan perguruan pada 9 Ogos 2019 dan semua emolumennya dihentikan mulai 6 Ogos tahun yang sama.

Lapor diri di sekolah 2013, mula mengajar pada 2017

Guru sains dan matematik itu gagal melaporkan diri di sebuah sekolah di Gerik, Perak pada tarikh sepatutnya dan hanya berbuat demikian pada 3 April 2013 serta mula mengajar pada 16 Mei 2017.

Yahaya dikatakan bertindak sedemikian kerana dia yang fobia air perlu menyeberangi tasik dengan menaiki bot untuk ke sekolah berkenaan.

Difahamkan dia mula mengalami fobia air kerana tragedi hampir lemas semasa kecil dahulu yang turut menyebabkan kematian abangnya.

Yahaya telah menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan di Sungai Petani dan dirujuk ke Jabatan Psikiatri untuk penilaian lanjut pada 2015.

Dia telah memaklumkan keadaan kesihatannya kepada pengetua sekolah berkenaan selepas tindakan tatatertib dibuat terhadapnya pada 2019.

Cuba mohon pindah sekolah tapi tak diendah

Dalam tempoh empat tahun ketidakhadirannya, dia cuba berunding dengan pihak yang berkaitan dan memohon untuk bertukar sekolah namun tidak diendahkan.

Yahaya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Taiping untuk membatalkan pemecatannya dan melantiknya semula sebagai guru di mana-mana sekolah lain yang boleh dikunjungi melalui jalan darat.

Yahaya menamakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Khair Mohamad Yusof, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, Jabatan Pendidikan Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai responden.

Mahkamah Tinggi benarkan semak kehakiman Yahaya, tapi dibatalkan Mahkamah Rayuan

Pada 31 Julai 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman Yahaya dan memberikan perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan responden yang memecatnya daripada perkhidmatan.

Pun begitu, keputusan itu telah dibatalkan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa penamatannya daripada perkhidmatan adalah tidak menyalahi undang-undang.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.