fbpx
Now Reading
Bekas Pekerja Ladang Penggal Kepala Rakan Terlepas Hukuman Gantung

Bekas Pekerja Ladang Penggal Kepala Rakan Terlepas Hukuman Gantung

Ketua Hakim Negara mengarahkan lelaki berusia 52 tahun itu menjalani hukuman penjara tersebut dari 26 Ogos 1994, tarikh dia ditangkap.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang bekas pekerja ladang kelapa sawit yang memenggal kepala rakan sekerjanya pada 30 tahun yang lalu telah terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Persekutuan meringankan hukuman terhadap lelaki itu kepada penjara selama 35 tahun.

Difahamkan, dia yang dikenali sebagai A. Francis, 52, memenggal kepala rakan sekerjanya itu kerana ingin tengkorak lelaki tersebut sebagai bahan ritual untuk mendapatkan kemenangan perjudian nombor ekor.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan Francis mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan).

Francis sudah berada di dalam penjara selama 30 tahun

Tengku Maimun mengarahkan lelaki berusia 52 tahun itu menjalani hukuman penjara tersebut dari 26 Ogos 1994, tarikh dia ditangkap. Francis sudah berada di dalam penjara selama 30 tahun.

Dua lagi panel Hakim yang turut bersidang ialah Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Nordin Hassan.

Peguam yang mewakili Francis, Abdul Rashid Ismail memohon mahkamah agar meringankan hukuman mati terhadap anak guamnya kerana kes itu bukanlah satu kes yang luar biasa memandangkan pembunuhan terbabit bukanlah suatu tindakan keganasan dan hanya melibatkan seorang mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya bantah permohonan hukuman mati diringankan

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) How May Ling bersama TPR Ng Siew Wee membantah permohonan tersebut dan menggesa mahkamah untuk mengekalkan hukuman mati kerana kesalahan itu dilakukan secara ganas, kejam serta mengerikan.

“Kesalahan itu terlebih dahulu dirancang dan dilakukan dengan motif untuk mengorbankan nyawa seorang yang tidak bersalah bagi mendapatkan tengkorak untuk tujuan mendapatkan nombor ekor,” kata How.

Francis penggal kepala Ali di ladang kelapa sawit pada 19 Ogos 1994

Pada 21 Oktober 1996, Francis didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh kerana membunuh seorang warga Bangladesh iaitu Ali Ahammed Mohammed Ullah di ladang kelapa sawit Kim Swee Leong di daerah Temerloh, Pahang antara jam 9 hingga 11.30 malam, 19 Ogos 1994.

Rayuan Francis di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing ditolak pada 1 September 2002 dan 21 Mac 2005.

Penggal kelapa rakan kerana ikut nasihat bomoh

Menurut fakta kes, Francis dikatakan melakukan kesalahan itu atas nasihat seorang bomoh sebagai satu daripada ritual yang diperlukan.

Dia menggunakan batang rotan untuk memukul kepada Ali sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum bertindak memenggal kepala mangsa. Francis kemudiannya menanam kepala tersebut di ladang kelapa sawit itu.

Sebagai info, Francis merupakan salah seorang daripada 17 banduan berusia antara 45 hingga 63 tahun yang menerima hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat diringankan kepada hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.