fbpx
Now Reading
Pembunuh Along Spoon Terlepas Hukuman Penjara Sepanjang Hayat, Akan Dibebaskan Hari Ini

Pembunuh Along Spoon Terlepas Hukuman Penjara Sepanjang Hayat, Akan Dibebaskan Hari Ini

Ya’cob yang juga merupakan bekas anggota polis turut terlepas daripada hukuman sebat atas faktor usia 50 tahun dan ke atas.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Masihkah anda ingat dengan penyanyi terkenal era-90 an, Along Spoon? Along atau nama sebenarnya Mohd Sabi’ul Malik Shafie pernah menggemparkan negara apabila dia didapati hilang selama 10 hari sebelum dijumpai dibunuh.

Kisah tersebut mendapat liputan meluas media memandangkan ia berlaku sewaktu Along yang berusia 19 tahun pada waktu itu berada dikemuncak kariernya.

Polis menjumpai mayatnya dalam sekarung guni di lereng bukit Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan pada 26 Disember 1999 jam 1 pagi.

Ekoran kejadian ini, polis menahan Mohamed Ya’cob Demyati yang merupakan suspek dan dia dijatuhi hukuman mati sebelum diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat.

Terlepas Hukuman Penjara Sepanjang Hayat & Sebatan

Terbaharu, Mahkamah Persekutuan hari ini (16 November) meminda hukuman dari penjara sepanjang hayat kepada pemenjaraan selama 33 tahun ke atas Ya’cob.

Pindaan hukuman itu berkuat kuasa bermula tarikh tertuduh yang berusia 57 tahun ditangkap pada 4 Januari 2000.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada hari kedua persidangan selepas penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Empat lagi hakim yang terlibat adalah Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Ya’cob yang juga merupakan bekas anggota polis turut terlepas daripada hukuman sebat atas faktor usia 50 tahun dan ke atas.

Dalam prosiding hari ini, Ya’cob antara 12 individu yang terlepas hukuman mati atau penjara sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan meminda kepada penjara 30 tahun dan ke atas serta sebatan.

Peguam Dakwa Terduduh Bebas Hukuman Penjara

Dalam pada itu, peguam yang mewakili tertuduh Che Muji Che Noh memaklumkan bahawa anak guamnya akan dibebaskan pada hari ini.

Walau bagaimanapun, masa sebenar Ya’cob dibebaskan tidak dapat diketahui kerana pihak penjara sedang menguruskan hal berkenaan.

“Anak guam dipenjarakan 33 tahun dari tarikh tangkap pada 4 Januari 2000. Meskipun mahkamah putuskan tempoh 33 tahun, namun ada ‘diskaun’ satu pertiga.

“Maknanya, dia sudah menjalani hukuman selama tempoh ini. Jadi, dia bebas hari ini,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Bapa Along Enggan Beri Sebarang Komen

Sementara itu, bapa Along Tengku Syafie Tengku Yusuf atau lebih dikenali sebagai Pak Engku enggan memberi sebarang kenyataan berhubung keputusan tersebut.

“Kalau komen mengenai perkara itu (keputusan mahkamah), saya tidak mahu ditemubual. Maafkan saya.

“Saya tidak mahu beri ulasan berkenaan perkara itu,” katanya yang dipetik dari mStar.

Sebagai info, pada 2 November 2010, hukuman gantung terhadap Ya’cob atas kesalahan membunuh dikekalkan setelah rayuan akhir tertuduh ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim yang pada ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi memutuskan demikian setelah berpuas hati dengan keterangan berdasarkan keadaan yang disandarkan oleh pendakwa raya adalah kukuh untuk mensabitkan perayu atas tuduhan berkenaan.

Pada ketika itu, mahkamah sebulat suara berpendapat keterangan-keterangan adalah mencukupi untuk menolak andaian kononnya penyanyi yang popular dengan lagu ‘Rindu Serindu-Rindunya’ itu diculik dan dibunuh oleh orang lain.

Ini kerana Ya’cob merupakan individu terakhir yang dilihat bersama Along dan penemuan mayat mangsa dalam guni ditempat yang sama mereka ditinggalkan menguatkan lagi kes pendakwaan.

Ini juga menyebabkan Zaki yang bersidang bersama Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong berpuas hati bahawa tiada sebab untuk menolak penemuan hakim bicara.

Panel hakim turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan pada 10 April 2002 sebelum Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Ogos 2008.

Namun, pada 7 Ogos 2012, Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuan tertuduh yang membenarkan hukuman mati diringankan kepada penjara sepanjang hayat.

Ya’cob yang merupakan bekas anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur didakwa membunuh Along di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, jam 1 pagi 26 Disember 1999.

Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum mayatnya ditemui dalam guni pada 6 Januari 2000 oleh polis selepas 10 hari laporan kehilangannya.

Baca Artikel Berkaitan: Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) Berkuatkuasa Hari Ini

Baca Artikel Berkaitan: 1,020 Banduan Hukuman Mati Mandatori & Penjara Seumur Hidup Boleh Buat Semakan Hukuman

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.