11 individu termasuk sembilan anggota penguat kuasa telah ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta serta menerima rasuah agar tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemilik bot yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
Rasuah diminta dari pemilik bot dan ‘runner’ sebagai balasan tak kenakan tindakan undang-undang
Difahamkan, perkara itu dilakukan oleh penguat kuasa berusia sekitar 30-an hingga 50-an berkenaan kepada pemilik bot dan juga ‘runner’, kononnya ia adalah satu balasan selepas pihak terbabit tidak mengenakan sebarang tindakan kepada bot-bot nelayan terbabit.
Jelas sumber, kesemua yang ditahan sekitar jam 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam (11 September) selepas mereka hadir ke pejabat SPRM Alor Setar, Kedah bagi memberikan keterangan.
Dipercayai anggota penguat kuasa dah lakukan kesalahan rasuah sejak 2018 lagi
“Dua orang awam ditahan dipercayai memberi rasuah sebanyak RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.
“Kesemua anggota penguat kuasa terbabit dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2018 hingga 2021 selain ditahan kerana menerima rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi,” ujarnya dipetik Kosmo.
Pengarah SPRM sahkan penahanan anggota penguat kuasa, 5 akan dibawa ke mahkamah untuk tahanan reman
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SRPM 2009.
Ujar beliau, lima anggota penguatkuasa yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah pada jam 8 pagi hari ini (12 September) untuk permohonan reman.
“Manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.”