fbpx
Now Reading
Harga Beras Naik Beri Kesan Kepada Isi Rumah & Peniaga

Harga Beras Naik Beri Kesan Kepada Isi Rumah & Peniaga

Pada masa yang sama, seorang pengguna yang dikenali sebagai Mustafa Rusdi turut merasakan kesan kenaikan harga makanan ruji rakyat Malaysia itu terutama terhadap kos perbelanjaan bulanannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Beras merupakan makanan ruji bagi rakyat Malaysia. Ia merupakan makanan utama yang sering diambil terutamanya ketika waktu sarapan, makan tengahari dan makan malam.

Sejak seminggu yang lalu, hangat diperkatakan mengenai kenaikan harga beras yang naik secara mendadak.

Kenaikan ini sememangnya memberi impak kepada semua pengguna terutama buat isi rumah yang terdiri daripada golongan B40. Bahkan, ada yang mula menyuarakan rasa bimbang ekoran daripada peningkatan ini.

Suri Rumah Terpaksa Catu Makan

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Rohani Omar mendakwa dia terpaksa mencatu makanan ekoran kenaikan harga beras ini.

Dia yang bekerja sebagai suri rumah manakala suaminya bekerja sebagai tukang kebun yang berpendapatan RM1,500 meluahkan rasa kecewa kerana harga beras tempatan jenama Nagasari yang menjadi pilihannya sebelum ini naik lebih RM10 menjadi RM40 bagi 10 kilogram berbanding RM25 sebelum ini.

“Kami tiada pilihan lain kerana sebelum ini kami hanya mampu membeli beras yang paling murah. Sekarang naik melampau, itu baru beras, belum lagi harga ayam dan telur sama naik,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Susah Nak Dapat Beras Harga Murah

Pada masa yang sama, pengguna lain yang dikenali sebagai Mustafa Rusdi turut merasakan kesan kenaikan harga makanan ruji rakyat Malaysia itu terutama terhadap kos perbelanjaan bulanannya.

Dia yang membeli beras import turut rasa terbeban ekoran harga makanan utama itu naik dengan mendadak.

“Saya terkejut apabila hendak membeli beras, kalau sebelum ini harga beras import wangi yang paling murah antara RM40 ke RM42 (10 kg), sekarang harga mencecah RM60 hingga RM70 dan stok beras memang selalu tiada.

“Susah nak dapat beras yang harga murah, mahu tak mahu terpaksa beli. Kalau tunggu pasar raya buat promosi pun harga beras masih tinggi berbanding sebelum ini.

“Pernah sampai satu tahap, saya terpaksa pergi ke setiap pasar raya berdekatan untuk membuat perbandingan harga beras yang lebih murah,” katanya.

Peniaga Kedai Runcit Turut Terkesan, Stok Bekalan Beras Terhad

Selain isi rumah, peniaga juga tidak terkecuali dari merasai kesan kenaikan harga ini. Menurut seorang peniaga runcit yang dikenali sebagai Mohammad Afif, stok bekalan beras di kedai runcit miliknya sering habis dan mendapat jumlah yang terhad dari pembekal.

Menurutnya, dia hanya mampu menjual beras lima kilogram kerana bekalan beras perlu dibeli dengan tunai dan memerlukan modal yang besar.

“Baru hari ini, kami dapat 20 pek beras tempatan Faizah (5 kg) itu pun selepas tunggu lama,” katanya yang juga dipetik daripada Harian Metro.

Tambahnya lagi, dia berharap kerajaan dapat memberi subsidi beras sama seperti minyak masak dan tidak membenarkan warga asing menikmati kemudahan subsidi berkenaan.

Peniaga Kedai Makan Kemungkinan Naikkan Harga Nasi Putih Atau Kurangkan Kuantiti

Memetik Kosmo, seorang pekerja kedai makan yang dikenali sebagai Mohd. Murshid mendakwa bahawa setakat ini, kedai makannya di Ipoh masih lagi mengekalkan harga jualan nasi putih pada kadar RM1 sepinggan walaupun harga beras semakin meningkat.

Namun, sekiranya peningkatan ini mencatatkan kenaikan yang berterusan, maka dia tidak menolak kemungkinan harga sepinggan nasi akan naik.

“Buat masa ini kami masih bersabar dengan situasi semasa dan berharap kerajaan dapat mengatasi masalah bekalan beras tempatan ini.

“Bagaimanapun, jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil harga nasi putih dinaikkan dari RM1 kepada RM1.20 atau RM1.50 sepinggan,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Pada masa yang sama, peniaga yang dikenali sebagai Mohd. Ariff Ghazali, dia memilih untuk mengurangkan kuantiti nasi berbanding menaikkan harga sepinggan nasi.

Ini kerana dia tidak mahu membebankan pelanggannya dengan menaikkan harga sepinggan makanan utama itu.

Bagi Ariff, sekiranya pelanggan mahukan nasi yang lebih, mereka perlu membayarnya kerana ia dianggap sebagai nasi tambah.

“Jadi, saya berpandangan biarlah kuantiti nasi putih sepinggan dikurangkan sedikit daripada biasa. Saya percaya pelanggan memahami apa yang sedang kami lalui ketika ini,” katanya lagi.

Foto: Malay Mail

Untuk info, kenaikan harga beras mula dirasai oleh pengguna sejak seminggu yang lalu. Difahamkan, kenaikan ini adalah ekoran daripada kenaikan harga beras import yang meningkat daripada RM2,350 tan kepada RM3,200 tan bermula 1 September 2023.

Kenaikan yang diumumkan oleh Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menyatakan bahawa ia sebagai satu langkah penyelarasan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pula, kenaikan harga beras import menyebabkan permintaan terhadap beras tempatan meningkat.

Ini menjadi punca berlakunya kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran kerana pembelian panik (panic buying) oleh pengguna dan peniaga.

Malah, beliau juga menambah, tiada bukti wujudnya penukaran label beras putih tempatan kepada import dalam Operasi Beras Putih yang telah dilaksanakan pada 17 Julai yang lalu.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.