Orang Asli Gua Musang Terpaksa Ulang-Alik Hampir 100km Cari Beras Murah
Selain perlu ke bandar untuk mendapatkan beras, penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman Daerah Gua Musang, Kelantan turut mendakwa barang kawalan lain seperti gula di tempat mereka juga dijual dengan harga yang mahal.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Isu harga beras masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini. Walaupun kerajaan telah memberi jaminan bahawa harga bekalan makanan asas itu tidak akan naik, namun terdapat segelintir peruncit yang masih menjual dengan harga yang tinggi.
Keadaan ini sememangnya membebankan segelintir pengguna terutama buat mereka yang mempunyai isi rumah yang ramai serta pendapatan bulanan yang cukup-cukup makan.
Malah, ada yang sanggup menempuh perjalanan yang jauh ke satu lokasi semata-mata mahu mencari beras yang dijual pada harga yang murah.
Sanggup Tempuh Perjalanan Ulang-Alik 100KM Pergi Ke Bandar Cari Beras Murah
Begitulah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman daerah Gua Musang, Kelantan.
Dek kerana mahu mencari bekalan beras yang dijual dengan harga murah, segelintir daripada mereka sangguh menempuh perjalanan ulang-alik hampir 100 Kilometer (KM) ke bandar bagi mendapatkan stok berkenaan.
Ini kerana mereka dikatakan berhadapan dengan masalah harga bekalan asas dijual pada kadar yang tinggi iaitu melebihi RM50 bagi sekampit beras 10 Kilogram pada ketika ini.
Seorang penduduk dari Kampung Kelaik Pos Balau Gua Musang, Kelantan yang dikenali sebagai Anglah Angah, dia mendakwa tidak tahan dengan harga yang ditetapkan oleh peruncit hingga menyebabkan dia memilih untuk ke bandar bagi mendapat bekalan asas berkenaan.
Tambahnya lagi, barang kawalan lain seperti gula turut dijual dengan harga yang mahal berbanding di kawasan bandar.
“Di kampung saya, sekampit beras 10 kg dijual sehingga RM50 lebih, manakala beras 5 kg pula melebihi RM20. Selain itu, sepeket gula dijual pada harga RM5.
“Saya mempunyai lapan ahli keluarga dan sekampit beras 10 kg hanya mampu bertahan untuk seminggu. Hari ini (kelmarin), saya tempuh perjalanan hampir 100 kilometer dengan menunggang motosikal ke bandar Gua Musang untuk membeli dua kampit beras yang berharga RM39 setiap satu,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Jana Pendapatan Dengan Mencari Hasil Hutan, Tertekan Dengan Masalah Kenaikan Harga Barang
Pada masa yang sama, seorang penduduk yang dikenali sebagai Ramli Along berkata, kebanyakan daripada mereka yang memperoleh pendapatan daripada mencari hasil hutan berasa tertekan dengan kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini.
“Kebanyakan Orang Asli di kampung ini menjual buluh di Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang pada harga 50 sen sebatang. Harga buluh semakin murah, tetapi harga beras dan makanan lain naik.
“Kami memang terhimpit dengan keadaan ketika ini. Penduduk hanya bergantung kepada makanan asas terutamanya beras kerana ubi kayu sudah tiada kerana kawasan kebun sekarang sudah menjadi ladang durian Musang King,” katanya.
Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Terima Aduan
Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk Orang Asli di daerah itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun telah menerima aduan daripada kumpulan berkenaan berhubung isu barang asas yang dijual dengan harga yang mahal.
Beliau turut memaklumkan bahawa aduan yang diterima telah dibawa ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tujuan selanjutnya.
Baca Artikel Berkaitan: PMX Beri Jaminan Harga Beras Tempatan Tidak Akan Naik
Baca Artikel Berkaitan: “Kalau Ada Berani Sorok Beras, Kamu Jaga, Kami Cari Kamu!” – PM Anwar