fbpx
Now Reading
Blake Hero Batang Kali Sudah Tiada, Hidap Kanser Limfoma

Blake Hero Batang Kali Sudah Tiada, Hidap Kanser Limfoma

Sebelum ini, kisah Blake menjadi perhatian ramai apabila dia direhatkan selepas bertungkus lumus mencari mangsa dalam SAR tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada December tahun lalu, negara dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dan Genting Highlands.

Ekoran daripada kejadian itu, pasukan penyelamat bersama Unit K9 iaitu anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah turun padang bagi menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tersebut.

Disebabkan misi pencarian itu memakan masa yang lama, terdapat beberapa anjing daripada Unit K9 yang terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan dan keletihan.

Antara anjing yang direhatkan termasuklah Blake, perkara itu kemudian menjadi perhatian ramai yang terharu dengan kerja keras dilakukan oleh unit berkenaan.

Baca artikel berkaitan: “Tabik Hormat Buat Leo & Reed!”- PDRM Ucap Terima Kasih Pada Dua Anjing Dari Unit K9

Blake hidap kanser limfoma

Terbaharu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan Blake sudah tiada kerana menghidap kanser limfoma.

Perkara itu dimaklumkan oleh KPKT menerusi satu hantaran di Facebook dan menjelaskan anjing itu telah ditidurkan pada jam 4.38 petang, kelmarin (18 September) selepas dikesan menghidapi barah tersebut.

Hidap kanser tahap 4, tiada selera makan dan lesu sebelum dimasukkan ke wad

Menurutnya, Blake telah disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 15 Ogos yang lalu.

Dia kemudian dimasukkan ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 September selepas didapati tiada selera makan dan dilihat lesu. Selain itu ia juga bertujuan untuk mengetahui perkembangan berhubung kanser yang dihadapinya.

“Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar malah kanser limfoma yang dikesan pada anjing tersebut juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar,” ujarnya.

Keadaan kesihatan semakin merosot sebab Blake ditidurkan

Hasil perbincangan dilakukan bersama Pakar Veterinar, Dr. Nur Alimah Rahman, pihak jabatan bersetuju untuk menidurkan Blake atas faktor kesihatan anjing itu yang semakin merosot secara mendadak.

“Tiada harapan dipulihkan serta mengelakkan anjing ini menderita dari kesakitan selain mengambil kira kebajikan anjing tersebut.

“Anjing Pengesan, Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017.”

Pernah berkhidmat di 3 SAR selain Batang Kali

Selain berkhidmat ketika operasi di Batang Kali, Blake juga turut terlibat di dalam beberapa operasi pencarian yang lain seperti:

  • Mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor
  • SAR kepala air di Titi Hayun, Yan, Kedah
  • SAR mangsa tertimbus di Kampung Temelong Karak, Pahang

“Kehilangan Blake pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.