fbpx
Now Reading
‘Ia Cadangan Mengarut’ – CUEPACS Bidas Kenyataan Segelintir Pihak Pertikai Pencen Penjawat Awam

‘Ia Cadangan Mengarut’ – CUEPACS Bidas Kenyataan Segelintir Pihak Pertikai Pencen Penjawat Awam

Menurut Presiden CUEPACS, adalah tidak wajar untuk ahli politik mempersoal keistimewaan yang dinikmati oleh penjawat awam memandangkan majoriti daripada kumpulan ini berkhidmat lebih 30 tahun.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Wang pencen atau persaraan merupakan satu bentuk skim buat individu yang telah bersara daripada dunia pekerjaan.

Antara faedah persaraan yang paling biasa di dengar adalah wang yang disimpan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Lazimnya, wang persaraan itu dicarum oleh pekerja sektor swasta dan segelintir penjawat awam.

Namun, kebanyakan penjawat awam lebih memilih untuk menikmati faedah persaraan dalam bentuk wang pencen ketika bersara kelak. Walau bagaimanapun, faedah ini seringkali menjadi bualan dan pertikaian oleh sesetengah pihak.

Semalam (28 September), bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, mencadangkan agar pencen ahli parlimen dibatalkan. Beliau juga turut mencadangkan agar pencen penjawat awam dihapuskan bagi mengimbangi fiskal negara.

Namun, penghapusan pencen itu hanya perlu dikuat kuasakan kepada kakitangan awam yang baharu.

CUEPACS Bidas Dakwaan Segelintir Pihak Pertikai Pencen Penjawat Awam

Terpanggil untuk membalas kenyataan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat merasakan cadangan untuk menghapus atau membatalkan pencen penjawat awam adalah tidak wajar.

Malah, keistimewaan itu tidak seharusnya dianggap sebagai bebanan kepada kerajaan.

“Ia satu cadangan yang mengarut dan tidak wajar dibangkitkan. Skim pencen adalah pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Pemberian pencen kepada penjawat awam juga tidak wajar dibandingkan dengan pemberian pencen kepada Ahli Parlimen, wakil rakyat atau individu yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri,” katanya

Tidak Wajar Persoal Keistimewaan Penjawat Awam

Tambah beliau, adalah tidak wajar untuk ahli politik mempersoal keistimewaan yang dinikmati oleh penjawat awam terutama majoriti daripada kumpulan ini berkhidmat lebih 30 tahun.

“Kami penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh yang singkat, imbuhan tinggi dan dalam masa sama layak menikmati pencen yang besar. Ada dalam kalangan penjawat awam ketika ini hanya menikmati pencen sekitar RM1,000 sebulan walaupun telah berkhidmat 30 tahun.

“Sudahlah ketika berkhidmat pun gaji tidaklah tinggi dan ketika sudah pencen pula masih ramai yang mempertikaikan keistimewaan pencen mereka yang sedikit itu,” katanya.

Tidak Pernah Cemburu Dengan Pencen Ahli Politik, Sepatutnya Cadangkan Satu Pencen Untuk Yang Berhormat

Tambah beliau lagi, CUEPACS dan penjawat awam tidak pernah cemburu dengan faedah pencen yang dinikmati oleh Ahli Parlimen.

“Ada dalam kalangan mereka yang menerima lebih daripada dua pencen walaupun tempoh perkhidmatan mereka sangat singkat jika dibandingkan dengan penjawat awam.

“Sepatutnya cadangkan untuk berikan satu pencen (mana yang tertinggi) sahaja kepada ahli-ahli yang berhormat layak terima sekiranya mahu membantu menjimatkan duit kerajaan,” katanya.

Tegas beliau lagi, pendirian CUEPACS adalah jelas dan tidak akan berkompromi dengan cadangan untuk mengurangkan keistimewaan yang diterima oleh penjawat awam termasuk yang berkaitan dengan pencen.

Selain KJ, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga pernah bersetuju dengan cadangan agar pencen semua menteri dan Ahli Parlimen dimansuhkan.

Malah, beliau berpendapat agar wang tersebut turut dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti rakyat biasa.

Baca Artikel Berkaitan: Lebih 7 Juta Tenaga Buruh Tiada Caruman Untuk Masa Hadapan – KWSP

Baca Artikel Berkaitan: Ada Pesara Yang Ingin Kembali Bekerja, Had Umur Persaraan di Malaysia Wajar Diperhalusi Semula

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.