
Bapa Dipenjara 12 Bulan Gara-gara Ugut Anak Untuk Solat Dengan Pisau
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Solat merupakan satu ibadah wajib yang dituntut oleh Allah SWT terhadap umat Islam. Sebagai ibu bapa mahupun orang dewasa, sudah menjadi tanggungjawab untuk mendidik dan menegur anak-anak kecil supaya mereka bersembahyang.
Bagaimanapun, didikan dan teguran haruslah diberikan dengan cara yang baik dan bukannya mengugut sehingga kanak-kanak berasa takut.
Bapa dihukum penjara 12 bulan kerana arah anak lelaki solat dengan ugutan jenayah
Seperti semalam (16 Oktober), seorang bapa di Sabah dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah mengarahkan anak lelakinya bersolat dengan melakukan ugutan jenayah pada bulan Ogos lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjun memutuskan hukuman itu kepada tertuduh, Ardi Aris yang berusia 32 tahun mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Bapa acu pisau kepada anak untuk arahnya solat
Mengikut pertuduhan, Ardi didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap anak lelakinya yang berusia 13 tahun dengan mengacukan sebilah pisau di rumah keluarga mereka di Batu 8 Jalan Tiku, Tawau sekitar jam 9 pagi pada 4 Ogos lalu.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika tertuduh ke rumah bekas iparnya sebelum meluru ke dapur untuk mengambil sebilah pisau lalu diacukan ke arah mangsa serta mengarahnya menunaikan solat.

Mangsa berada dalam ketakutan tetap tidak mengikuti arahan bapanya
Mangsa yang berada dalam keadaan takut dengan tindakan bapanya itu bagaimanapun tidak menuruti arahan tersebut sebelum ibu saudaranya menghubungi pihak polis.
Difahamkan, Ardi yang bekerja sebagai pencuci kereta dan sudah bercerai itu sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu kerana disyaki mengalami masalah mental.
Semasa perbicaraan, tertuduh turut merayu agar mahkamah meringankan hukumannya dengan alasan dia sudah insaf selain menyesal atas perbuatannya itu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 4 Ogos lalu.