fbpx

Jambatan Kaca Di Indonesia Pecah, Seorang Pelancong Wanita Maut Terjatuh [Video]

Seorang saksi di tempat kejadian yang dikenali sebagai Sunarto berkata, dia mendengar bunyi letupan saat lantai kaca di jambatan setinggi kira-kira 15 meter itu pecah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Niat sekumpulan pelancong di Indonesia yang ingin bergambar di atas sebuah jambatan kaca bertukar tragedi hitam apabila lantai kaca itu secara tiba-tiba pecah sekaligus meragut nyawa salah seorang daripada mereka.

Menurut CNN Indonesia, kejadian tersebut berlaku di The Geong Hutan Pinus Limpakuwus, mukim Sumbang, Daerah Banyumas, Jawa Tengah semalam (25 Oktober).

Saksi di tempat kejadian dengar bunyi letupan kaca pecah

Seorang saksi di tempat kejadian yang dikenali sebagai Sunarto berkata, dia mendengar bunyi letupan saat kaca jambatan itu pecah.

Menurutnya, ada sekitar 11 orang daripada rombongan pelancong itu yang berada di atas jambatan berkenaan pada waktu tersebut.

Berlaku sekitar jam 10 pagi ketika rombongan 11 pelancong pecah pada dua kelompok

Namun dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu, rombongan pelancong terbabit terpecah menjadi dua kelompok semasa berada di atas jambatan kaca berkenaan.

“Ada empat orang yang sedang bergambar. Yang dua orang jatuh dan lagi dua tersangkut di atas. Kesemua mereka adalah perempuan.

“Satu rombongan ada 11 orang, tetapi lagi tujuh orang terpisah di sebelah barat,” katanya dipetik Detik.

Terkejut dengan bunyi letupan kaca pecah itu, Suharto berkata dia segera meminta pertolongan daripada pekerja-pekerja yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Banyumas sahkan seorang mangsa terkorban

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Banyumas, Kombes Edy Surantra Sitepu yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan ada yang terkorban dalam kejadian itu.

Jelasnya, pelancong yang terkorban dan cedera itu berasal dari daerah Cilacap, Jawa Tengah dan pihak polis kini sedang melakukan siasatan serta meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat.

Tular video selepas kejadian jambatan kaca pecah

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar dan video selepas insiden tersebut berlaku yang memaparkan seorang pelancong wanita sedang ditarik oleh orang awam untuk naik semula ke atas jambatan berkenaan.

Dalam video sama, turut kelihatan seorang lagi pelancong wanita sedang terbaring di bawah jambatan itu selepas terjatuh pada ketinggian sekitar 15 meter.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.