Gaji ‘Cukup Makan’ Antara Punca Sukar Sedia Tabung Kecemasan RM1,000 Sebulan
Ada segelintir individu mengakui komitmen bulanan tinggi turut menjadi faktor sukar untuk mengasingkan sejumlah wang buat tujuan simpanan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada masa kini, boleh dikatakan kebanyakan individu memilih untuk melakukan lebih daripada satu kerja bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.
Malah, tanggungjawab mencari nafkah tidak hanya diletakkan kepada bahu suami sahaja di mana wanita kini turut bersama-sama membantu mencari nafkah.
Ini kerana gaji yang diperolehi oleh segelintir individu membuatkan mereka tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan apatah lagi untuk membuat simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.
Gaji Cukup-Cukup Makan & Komitmen Bulanan Tinggi Antara Punca Utama
Memetik Kosmo, rata-rata individu mengakui gaji bulanan yang diterima hanya mencukupi hingga menyebabkan segelintir daripada mereka tidak mempunyai simpanan walaupun RM1,000.
“Bukan tak nak menyimpan, gaji ngam-ngam cukup makan je. Gaji ciput kerja over time (lebih masa) kurang, potong itu potong ini,” kata Zakaria Elias.
“Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malam tak ada,” ujar Ramzi Morad.
Malah, ada segelintir daripada mereka mengakui komitmen bulanan tinggi turut menjadi faktor sukar untuk membuat simpanan.
Menurut seorang pekerja swasta yang dikenali sebagai Salim Muhammad, walaupun menerima gaji bulanan sebanyak RM3,000, dia mengakui tidak mampu untuk menyimpan simpanan kecemasan walaupun RM1,000 kerana komitmen bulanan berjumlah RM2,800 sebulan.
“Setiap bulan bayar sewa rumah, jelaskan bil, beli barangan keperluan dan perbelanjaan persekolahan anak-anak.
“Itu tidak termasuk kos petrol dan tol ulang-alik ke tempat kerja. Kadang-kadang saya mengakui terpaksa mengikat perut, asalkan anak-anak dapat makanan yang mencukupi,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Tambah Salim, dia sedar tentang kepentingan menabung namun bagi bapa kepada empat orang anak itu, ia bukanlah semudah disangka terutama buat mereka yang berpendapatan rendah seperti dirinya.
Hampir Keseluruhan Rakyat Malaysia Tiada Simpanan
Hasil tinjauan di media sosial turut mendapati ada segelintir individu yakin bahawa bukan separuh namun hampir seluruh rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan kecemasan sebanyak RM1,000.
“Pembetulan, hampir semua (tidak ada simpanan RM1,000),” komen Nizal Ahmad.
Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, memaklumkan bahawa hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 bagi tujuan kecemasan.
Tambah beliau, berdasarkan Kaji Selidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan yang dijalankan sejak tahun 2015 mendapati satu daripada tiga rakyat Malaysia tidak berminat untuk mengambil tahu tentang insurans dan takaful.
Malah, kajian ini juga turut menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia terbeban dengan hutang walaupun kebanyakan daripada mereka adalah golongan yang mempunyai pendapatan berpatutan.
Pada masa yang sama, berdasarkan RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey 2023 (RMFLS) yang dijalankan oleh RinggitPlus mendapati 71% responden hanya mampu menyimpan RM500 pada setiap bulan.
Baca Artikel Berkaitan: 71% Rakyat Malaysia Hanya Mampu Menyimpan Kurang RM500 Setiap Bulan
Baca Artikel Berkaitan: Duit Persaraan RM1,000 Setiap Bulan Tidak Cukup – Pakar Ekonomi