fbpx
Now Reading
Duit Persaraan RM1,000 Setiap Bulan Tidak Cukup – Pakar Ekonomi

Duit Persaraan RM1,000 Setiap Bulan Tidak Cukup – Pakar Ekonomi

Menurut pakar ekonomi yang dikenali sebagai Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, jumlah RM240,000 bukan satu angka yang boleh membuat kehidupan selesa selepas bersara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Wang simpanan asas selepas bersara di usia tua sememangnya penting bagi setiap orang untuk menampung kehidupan mereka dengan baki umur yang ada.

Meskipun segelintir individu tidak mempunyai wang persaraan yang banyak, tetapi ia sedikit sebanyak membantu mereka meneruskan kehidupan.

RM240,000 untuk tempoh 20 tahun lepas bersara tidak cukup

Pun begitu, tahukah anda simpanan asas RM240,000 untuk tempoh 20 tahun selepas bersara adalah tidak mencukupi untuk menanggung kos sara hidup yang kian meningkat ini.

Menurut pakar ekonomi yang dikenali sebagai Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, jumlah RM240,000 bukan satu angka yang boleh membuat kehidupan selesa selepas bersara.

Hanya dapat RM1,000 setiap bulan dalam tempoh 20 tahun

Kata Prof Emeritus, jika dibahagikan RM240,000 kepada 20 tahun, pesara hanya akan mendapat berbelanja dalam anggaran RM1,000 sebulan sahaja.

“Jumlah ini tidak mencukupi kerana perbelanjaan makanan bagi penduduk di Malaysia antara RM800 sehingga RM1,200 sebulan. Jadi, jumlah yang diperuntukkan iaitu RM1,000 hanya cukup untuk membeli makanan. Bagaimana dengan kos tempat kediaman, utiliti, pakaian dan sebagainya?

“Dalam hal ini, RM1,000 adalah sangat tidak mencukupi. Ini sebenarnya lebih rendah daripada gaji minimum iaitu RM1,500. Sekurang-kurangnya satu keluarga memerlukan dalam RM3,500 sebulan,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Simpanan asas RM240,000 untuk bersara dengan bermaruah, kata Ahmad Maslan

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata rakyat perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM240,000 simpanan asas sebagai paras sasaran apabila mencapai usia 55 tahun.

Jelasnya, rakyat Malaysia haruslah mempunyai dana persaraan yang mencukupi bagi bersara dengan bermaruah.

Ahmad Maslan cadangkan beberapa kaedah simpanan

Bagi mencapai sasaran itu, Ahmad Maslan mencadangkan beberapa kaedah bagi mencapai simpanan minimum RM240,000 menjelang usia persaraan seseorang.

Antara kaedah yang boleh digunakan adalah individu haruslah bekerja dalam syarikat yang menawarkan gaji lebih tinggi selain membuat caruman secara sukarela.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar pekerja yang bekerja dalam sektor tidak rasmi membuat simpanan melalui i-Saraan yang diperkenalkan oleh KWSP.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: RM240,000 Simpanan Asas Untuk ‘Bersara Secara Bermaruah’, Kata Ahmad Maslan

Aplikasi baru KWSP boleh anggarkan jumlah wang persaraan anda

Untuk info, baru-baru ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada memperkenalkan aplikasi baharu mereka iaitu KWSP i-Akaun.

Aplikasi ini boleh menganggarkan jumlah simpanan anda menjelang usia persaraan nanti melalui kalkulator simpanan persaraan.

Bagi yang berminat untuk mengetahui sama ada anda bersara secara bermaruah atau tidak, boleh muat naik aplikasi ini di App Store, Google Store atau AppGallery.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.