
ATM Sedia Hantar Pasukan Pengaman Ke Palestin Sekiranya Dapat Mandat – Menteri Pertahanan
Menurut Mohamad Hasan, bagaimanapun keputusan menghantar tentera pengaman secara unilateral ke kawasan berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ketika ini, konflik di antara Palestin dan Israel masih belum menemui penyelesaian apabila rejim Zionis tanpa henti terus menyerang Semenanjung Gaza sehingga membunuh ribuan nyawa orang awam seperti warga emas, wanita dan kanak-kanak.
Kekejaman tentera Israel itu telah mendapat kecaman seluruh dunia selain berharap agar gencatan senjata dapat dilakukan serta-merta.
ATM sedia menghantar pasukan ke Palestin sekiranya diberi mandat
Tidak hanya itu, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersedia bagi menghantar pasukan pengaman ke Palestin sekiranya mendapat mandat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun keputusan menghantar tentera pengaman secara unilateral ke kawasan berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia memerlukan penelitian pelbagai pihak, termasuk Kementerian Luar, pandangan negara sekitar kawasan bergolak atau kawasan krisis dan paling utama mendapat mandat yang jelas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Buat sahaja keputusan dan kami (ATM) akan ke sana (Palestin) jika ada keputusan, ada mandat membolehkan kita menghantar tentera pengaman kita dengan segera. Bahkan kita dah ada pun di Lubnan,” katanya dipetik Kosmo hari ini (31 Oktober).
Malaysia terikat dengan perjanjian NAM
Untuk info, walaupun Malaysia merupakan antara negara yang memihak kepada Palestin, negara ini tetap tidak boleh sewang-wenangnya menghantar bantuan ketenteraan untuk membantu dalam peperangan.
Hal ini kerana, Malaysia terikat dengan perjanjian di bawah Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Perlindungan NAM terhadap Malaysia akan terbatal sekiranya bantu Palestin berperang
Sekiranya Malaysia mula memberi bantuan kepada Palestin atau mana-mana negara dari segi kekuatan ketenteraan mahupun senjata, maka perlindungan NAM tersebut secara automatik akan terbatal.
Kesan buruk sekiranya perjanjian ini terbatal adalah Malaysia tidak akan menerima sebarang bantuan daripada negara di bawah NAM seandainya diserang.
Tentera Malaysia boleh dihantar tapi sebagai pengaman melalui PBB
Walaupun begitu, tentera Malaysia masih boleh dihantar ke luar negara, namun bukan tujuan untuk berperang, sebaliknya sebagai pengaman melalui PBB dan tidak secara sendirian.
Pendek kata, penghantaran tentera ke luar negara tidak boleh sesuka hati kerana setiap negara terikat dengan undang-undang antarabangsa.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: