fbpx
Now Reading
“Saya Bukan Nak Kelirukan Siapa-Siapa” – Peniaga Nasi Kandar Lauk Babi Beri Penjelasan Sebenar

“Saya Bukan Nak Kelirukan Siapa-Siapa” – Peniaga Nasi Kandar Lauk Babi Beri Penjelasan Sebenar

Terdahulu, tular di media sosial hantaran video yang dikongsikan oleh seorang pempengaruh yang berkongsi juadah nasi kandar dan nasi lemak dengan lauk daging babi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak belakangan ini, kecoh di media sosial tentang kontroversi hidangan nasi kandar tidak halal oleh seorang peniaga.

Video yang tular di TikTok itu nyata menarik perhatian ramai khususnya buat peminat nasi kandar kerana ia dijual bersama lauk daging babi.

Menu tersebut nyata mengundang kecaman sehingga Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menganggap ia sebagai satu penghinaan kepada industri nasi kandar Malaysia.

Pemilik Tiada Niat Kelirukan Orang Ramai

Ekoran daripada video yang tular itu, pemilik gerai Nasi Lemak dan Nasi Kandar ‘Non Halal’ berkenaan iaitu Suresh G, tampil menjelaskan perkara sebenar.

Menurut Suresh, dia tidak berhasrat untuk mengelirukan sesiapa kerana hidangan tersebut adalah menu istimewa yang dijual di gerai miliknya.

“Saya bukan nak kelirukan sesiapa. Saya hanya berniaga kecil-kecilan di kedai yang memang jelas ‘non halal’.

“Ini sudah minggu ketiga saya berniaga. Semalam baru perasan perkara ini tular termasuk ada artikel yang keluar. Dulu ada restoran tapi dah tutup, itu yang ambil keputusan buka gerai dan menyewa di kedai Cina.

“Memandangkan ini adalah kedai ‘non halal’, itu sebab saya jual lauk ‘non halal’ iaitu daging babi. Bukan nak susahkan hati sesiapa pun,” kata peniaga itu.

Hanya Berniat Mencari Wang, Pelanggan Terdiri Daripada Bukan Islam

Tambah peniaga itu lagi, niatnya hanyalah untuk menjana pendapatan dan mencari wang melalui hidangan istimewanya itu. Malah, kesemua pelanggannya terdiri daripada individu yang bukan beragama Islam.

“Saya ini hanya nak cari makan saja. Saya jual makanan ini memang di kedai Cina dan bukan di kawasan perumahan. Jadi, pelanggan pun memang bukan Islam.

“Menu ini adalah jenama saya dari awal gerai ini dibuka. Saya tak terfikir nak berhenti. Lagi pula, ia adalah ‘speciality’ di sini sebab idea dan ‘branding’ memang macam tu,” katanya lagi.

Anggap Jual Menu Tersebut Bukan Satu Kesalahan

Bagi Suresh, dia tidak menganggap tindakannya menjual hidangan istimewa itu sebagai satu kesalahan kerana terdapat banyak gerai di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya turut menjual makanan tidak halal.

Malah, dia menjelaskan turut meletakkan logo tidak halal pada setiap hantaran yang dibuat di akaun media sosial bagi mengelakkan dari timbulnya sebarang isu.

“Kalau mengikuti saya di Instagram dan Facebook, memang tertera perkataan ‘non halal’. Malah, setiap hantaran dimuat naik pun tulis huruf besar ‘non halal’. Kiranya memang kita maklumkan dan bagi jelas.

“Logo perniagaan pun dah tunjuk gambar binatang tu. Jadi takkan ada orang yang keliru. Saya daftar pun di bawah jenis perniagaan ‘non halal’.

“Jadi, saya berasa memang tak buat salah. Bukan nak menghina atau memalukan mana-mana pihak. Tak ada niat nak sentuh mana-mana sensitiviti dan menyinggung perasaan pihak lain. Tidak sama sekali,” kata Suresh.

Sedia Jumpa Dengan Mana-Mana Pihak

Dek kerana isu hangat yang timbul gara-gara menu yang dijual, Suresh dikatakan bersedia untuk berjumpa mana-mana pihak khususnya persatuan dan pihak Kementerian bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Saya bukan orang pertama buat, dah banyak di kawasan KL dan PJ. Nasi lemak daging babi misalnya bukan baru. Saya pun hairan, saya yang pertama kali buat, tapi kena kecam. Semalam siap ada hubungi dan cakap nak datang jumpa,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran video yang dikongsikan oleh seorang pempengaruh yang berkongsi juadah nasi kandar dengan lauk babi.

Video dengan kapsyen ‘Malaysia’s First Pork Nasi Kandar Nasi Lemak Babi Indian Style Available Too!’ nyata mengundang kecaman khususnya buat peminat nasi kandar di Malaysia.

Malah, ia juga turut menarik perhatian Presma yang kesal dengan promosi makanan berkenaan serta menganggap ia sebagai penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.