Gara-gara Mencuri, ‘Instafamous’ Dijatuhi Hukuman Penjara 1 Hari & Denda RM400
Berdasarkan fakta kes, Rumaisyah yang popular di Instagram dan mempunyai lebih 230,000 pengikut didakwa mengambil beberapa barang di pasar raya berkenaan sebelum memasukkannya ke dalam beg yang dibawa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mencuri merupakan kesalahan jenayah yang boleh menyebabkan pelaku dikenakan hukuman penjara ataupun denda tanpa mengira nilai barang yang dicuri.
Pempengaruh Dihukum Penjara 1 Hari & Denda RM400 Gara-gara Mencuri
Gara-gara mencuri barang daripada sebuah pusat membeli belah, seorang ‘Instafamous’ atau pempengaruh media sosial dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam (2 November).
Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rumaisyah Yahya selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri beberapa barang seperti pewangi bilik, ubat gigi, sabun mandi, dan sayur brokoli berjumlah RM108.18.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga hari dikenakan terhadap wanita berkenaan jika gagal membayar denda.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah pusat beli belah terkemuka yang terletak di Jalan Ampang pada jam 4.30 petang, 1 November yang lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta bagi kesalahan kali kedua boleh dikenakan hukuman penjara, denda, atau sebat.
Peguam Bela Mohon Hukuman & Denda Minimum
Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Namun, peguam bela yang mewakili Rumaisyah Muhammad Rhastdan Abdul Wahab memohon agar hukuman penjara dan denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh tiada pendapatan tetap dan menyara ibu yang berusia 65 tahun.
Tambah Rhastdan lagi, ia merupakan kesalahan pertama dan barang yang dicuri hanyalah barang keperluan asas.
“Anak guam insaf dan mohon diberikan peluang kedua,” kata Rhastdan.
Berdasarkan fakta kes, Rumaisyah yang bekerja sebagai guru yoga mengambil beberapa barang sebelum memasukkannya ke dalam beg yang dibawa.
Namun, dia tidak membuat pembayaran sebelum berjalan ke bahagian lain dan keluar dari pasar raya berkenaan. Rumaisyah kemudiannya ditahan oleh pengawal keselamatan pasar raya tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati barang milik pasar raya pada ketika itu berada di dalam beg miliknya dan tertuduh gagal mengemukakan resit pembelian.
Baca Artikel Berkaitan: Pura-Pura Nak Beli, Rupanya Mencuri! Pemuda Larikan Rantai Emas Bernilai RM23,000 [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Awalnya Mencuri, Perompak Akhirnya Jatuh Cinta Selepas Lihat Foto Mangsa Di Telefon