fbpx

Majikan Tidak Boleh Bayar Gaji Secara Tunai Kecuali Jika Ada Kelulusan – Sivakumar

Menurut Menteri Sumber Manusia, majikan tidak dibenarkan membayar gaji secara tunai kecuali jika mendapat persetujuan pekerja dan kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Lazimnya, kebanyakan pekerja di Malaysia akan menerima gaji bulanan pada minggu terakhir bulan tersebut.

Pendapatan bersih yang diperolehi akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank milik pekerja setelah segala komitmen dan faedah ditolak daripada gaji bulanan seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955.

Namun, pada masa kini, masih terdapat lagi pekerja yang dibayar secara tunai.

Bayaran Gaji Secara Tunai Tidak Dibenarkan Jika Tiada Kelulusan

Menurut Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, majikan sebenarnya tidak dibenarkan membayar gaji secara tunai.

Ia bagaimanapun dikecualikan jika mendapat persetujuan pekerja dan kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM).

Tambah beliau, majikan yang tidak membayar gaji melalui akaun bank dianggap melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 mengikut Seksyen 25 dan 25(A) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

Ada Majikan Yang Bayar Gaji Secara Tunai & Tidak Mencarum Dengan KWSP Serta PERKESO

Beliau berkata demikian sewaktu Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur semalam (15 November).

Hasil operasi itu menunjukkan seramai 19 daripada 34 majikan didapati melakukan kesalahan seperti bayaran gaji pekerja secara tunai serta beberapa kesalahan lain seperti pelanggaran waktu kerja dan tidak membayar gaji mengikut Perintah Gaji Minimum.

“Operasi dilaksanakan kerana kita terima beberapa aduan dari pihak tertentu bahawa ada pekerja di pasar borong ini yang tidak dibayar gaji, tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta majikan tidak membayar gaji pekerja melalui akaun bank,” kata beliau yang dipetik dari Bernama.

Buka Kertas Siasatan Melibatkan Jumlah Kompaun & Denda Lebih RM4.3 Juta

Dalam pada itu, Sivakumar turut mendedahkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 1,654 kertas siasatan dibuka atas kesalahan berhubung pembayaran gaji, penginapan pekerja dan perintah gaji minimum melibatkan denda dan kompaun berjumlah RM4.3 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 357 kes melibatkan denda berjumlah RM391,236 manakala 775 kes melibatkan kompaun dengan nilai RM3,958,500.

Tambah beliau lagi, kertas-kertas siasatan yang dibuka merangkumi kes-kes di bawah Akta 265, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 dan Perintah Gaji Minimum 2022.

Kerajaan Komited Banteras Kewujudan Elemen Buruh Paksa

Pada masa yang sama, Sivakumar menegaskan bahawa kementerian dan jabatan berkaitan komited dalam memastikan tiada elemen buruh paksa di Malaysia dan operasi bersepadu akan diteruskan di seluruh negara.

“Saya telah tegaskan beberapa kali sekiranya kita terima aduan daripada pekerja atau pihak kedutaan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang tidak mengikut undang-undang sedia ada selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” ujarnya.

OPS PASAR BORONG KUALA LUMPUR Seramai 34 majikan berjaya diperiksa dan didapati beberapa daripadanya melakukan…

Posted by Kementerian Sumber Manusia on Wednesday, 15 November 2023

Baca Artikel Berkaitan: Guna Alasan Syarikat Tak Mampu Bayar Gaji RM 1,500, Wanita Diberhentikan Secara Tiba-Tiba

Baca Artikel Berkaitan: Majikan Wajib Pamer Kadar Upah, Elak Graduan Dibayar Gaji Rendah – Pakar Ekonomi

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.