fbpx

Terengganu Haramkan Ajaran Mhd. Mohib Khouli Nazem Kerana Bercanggah Dengan Akidah

Menurut Mufti Terengganu, ajaran Mhd. Mohib adalah sesat lagi menyesatkan dan bercanggah dengan tonggak akidah Islam yang diyakini oleh ulama al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jawatankuasa Fatwa Terengganu memutuskan bahawa ajaran serta fahaman yang dibawa seorang lelaki warga Syria, Mhd. Mohib Khouli Nazem di negeri itu adalah sesat dan haram diikuti oleh umat Islam.

Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron berkata, ia kerana ajaran yang dibawa oleh Mohib adalah bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Keputusan diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu

Menurutnya, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali ke-15 yang diadakan pada 30 Ogos lalu.

Ujar Mohamad Sabri, ajaran Mhd. Mohib adalah sesat lagi menyesatkan dan bercanggah dengan tonggak akidah Islam yang diyakini oleh ulama al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.

“Ciri-ciri penyelewengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem termasuk mendakwa Allah Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah menghendaki mengadakan anak untuk diriNya, Dia Maha Berkuasa menciptanya.

“Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami bahawa Allah harus mempunyai anak, sedangkan adalah jelas bahawa mustahil Allah mempunyai anak,” katanya ketika dipetik Kosmo hari ini (16 November).

Mhd. Mohib menetap di Malaysia dan berkahwin dengan wanita tempatan

Difahamkan, Mhd. Mohib kini menetap di Malaysia dan sudah mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita tempatan.

Dia sebelum ini sering membuat siaran langsung (live) di Facebook dan menyampaikan ceramahnya kepada orang ramai.

Ajaran dibawa Mhd. Mohib bersifat ekstremis

Berkongsi lanjut, Mohamad Sabri berkata ajaran yang dibawa oleh lelaki berkenaan bersifat fahaman ekstremis agama atau golongan pelampau atau ghuluw yang boleh mengancam keselamatan negara.

Susulan itu, beliau menggesa mana-mana individu yang mempercayai, mengajar, belajar, menyebarkan atau mengamalkan ajaran itu untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan segera.

Dr. Maza pernah terima kunjungan Mhd. Mohib pada 2020

Sebelum ini pada Julai 2020, Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza telah menerima kunjungan Mhd. Mohib ke negeri terbabit.

Menurut Dr. Maza, Perlis meraikan kesemua pejuang ‘sunnah untuk datang ke negeri terbabit.

“Perlis merupakan bumi hijrah para pejuang sunnah sejak sebelum Merdeka. Alhamdulillah, sehingga hari ini, ia masih begitu,” kata Dr. Maza.

Dakwa Jawatankuasa Fatwa Terengganu buat tuduhan berat, Mhd Mohib akan saman

Sementara itu, menerusi satu hantaran video di akaun Facebook Mohib Khouli Fans, Mhd. Mohib mendakwa Jawatankuasa Fatwa Terengganu telah membuat tuduhan berat terhadap dirinya.

Dia pada masa sama juga berkata akan mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman jawatankuasa tersebut kerana mengeluarkan fatwa bahawa dirinya sesat dan haram diikuti umat Islam.

“Jawapan saya terhadap fitnah dan tuduhan yang tidak berasas dari Fatwa Majlis Agama Negeri Terengganu. Saya akan saman mereka, Insya-Allah,” kata Mhd. Mohib.

Perkara sama turut dikatakan Mhd. Mohib dalam satu lagi hantaran di Facebook yang menurutnya ia adalah bertujuan untuk membersihkan namanya yang telah tercalar.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.