Sebelum ini, tular di media sosial berhubung perkongsian seorang wanita yang mempertikaikan kualiti perkhidmatan di sebuah hospital milik kerajaan yang diterima oleh datuknya.
Dakwa wanita itu, datuknya yang sedang nazak sebelum ini merupakan bekas penjawat awam dan layak mendapat wad kelas pertama di hospital namun pihak terbabit mengatakan ‘bilik penuh’.
Dia juga turut berkongsi beberapa gambar di dalam ciapan di laman X (Twitter) memaparkan keadaan datuknya yang sedang terlantar di hospital berkenaan.
HSA nafi tak beri rawatan wad kelas pertama kepada golongan yang layak
Susulan daripada itu, Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu (HSAJB) telah tampil menafikan kenyataan yang tular di media sosial.
Menurut Pengarah hospital bekenaan iaitu Dr. Sal Atan pesakit yang layak mendapat wad kelas pertama tidak dapat dilakukan kerana wad itu ditutup sepenuhnya untuk sementara waktu.
Wad sedang dinaik taraf
Jelasnya, perkara itu dilakukan bertujuan untuk memberi ruang kepada projek naik taraf bekalan elektrik, sistem elektrikal serta mekanikal di Bangunan Induk dan Bangunan wad bersalin secara berperingkat.
Katanya lagi, projek sudah bermula sejak 2022 dan dijangka siap pada 2025.
“Projek menaik taraf itu telah bermula pada 2022 dan dijangka siap pada 2025. Notis pemakluman berkaitan projek naik taraf juga telah dinyatakan di pekarangan kawasan hospital.
“Walau bagaimanapun, pihak pengurusan hospital mengambil serius berhubung isu ini dan berusaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap fasiliti yang uzur,” ujarnya lapor Kosmo.