fbpx
Now Reading
Sumber Dakwa Sebahagian Wang Derma Aman Palestin Digunakan Untuk Pembelian Hartanah & Emas

Sumber Dakwa Sebahagian Wang Derma Aman Palestin Digunakan Untuk Pembelian Hartanah & Emas

Menurut sumber berkenaan, syarikat-syarikat tersebut juga dipercayai dikendalikan oleh ahli keluarga, saudara mara dan rakan pengurusan dana yang gajinya dibayar menggunakan hasil derma dari orang ramai.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Konflik yang berlaku di antara Palestin dan Israel sememangnya membuka mata banyak pihak di seluruh dunia.

Pelbagai cara yang dibuat bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman rejim Zionis.

Selain memboikot produk keluaran atau yang mempunyai kaitan dengan Israel, sumbangan derma juga merupakan antara salah satu bentuk sokongan.

Namun, pada 23 November yang lalu, hangat dilaporkan di media berita mengenai pembekuan 41 akaun bank Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aman Palestin bernilai RM15,868,762 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu dibuat berikutan hasil siasatan SPRM mendapati wujud dakwaan bahawa Aman Palestin telah menyalahgunakan sumbangan orang ramai.

Dana Dipercayai Diberikan Kepada Syarikat Yang Tidak Berkaitan

Berdasarkan Utusan Malaysia yang memetik sumber, siasatan awal SPRM mendapati dana tersebut diagihkan kepada beberapa buah syarikat bagi menjalankan aktiviti antaranya seperti pelancongan, pengembaraan, akademi menembak, perlombongan emas, teknologi dan agensi media.

Malah, menurut sumber berkenaan, syarikat-syarikat tersebut dipercayai dikendalikan oleh ahli keluarga, saudara mara dan rakan pengurusan dana yang gajinya dibayar menggunakan hasil derma dari orang ramai.

“Siasatan SPRM juga mendapati, sebahagian sumbangan orang ramai juga digunakan untuk membeli emas, mata wang kripto dan hartanah seperti bangunan dan tanah yang tidak ada kaitan dengan bantuan kepada rakyat Palestin,” kata sumber itu.

Upah Firma Perakaunan Yang Pernah Disenarai Hitam

NGO berkenaan turut dipercayai mengupah firma perakaunan yang pernah disenarai hitam bagi mewujudkan penyata perbelanjaan sebagai bukti mempunyai penyata kewangan yang baik.

“Semakan buku akaun Aman Palestin juga mendapati terdapat yuran operasi dan pengurusan melebihi RM400,000 sebulan.

“SPRM juga dikatakan sedang meneruskan siasatan bagi memastikan sama ada terdapat ketirisan dalam dana awam yang diterima selain mengesan ke mana wang derma itu disalurkan.

“SPRM juga sedang meneliti, jumlah sebenar dana yang telah disalurkan Aman Palestin untuk membantu rakyat Palestin,” jelas sumber berkenaan.

SPRM Beri Pengesahan Namun Enggan Mengulas Lanjut

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara tersebut namun tidak mahu mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Tambah beliau, SPRM tidak boleh menyahbekukan 41 aset Aman Palestin sehingga semua siasatan selesai dan pihaknya masih menyiasat sumber sebenar transaksi dan tuntutan yang diperoleh oleh Aman Palestin.

Tegas beliau lagi, siasatan yang dijalankan adalah bagi memastikan dana sumbangan orang awam yang bernilai jutaan ringgit digunakan secara telus.

Beliau menjelaskan perkara itu selepas mengulas gesaan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar SPRM membenarkan Aman Palestin Berhad menggunakan RM10 juta daripada akaun yang dibekukan untuk bantuan penduduk di Gaza.

Baca Artikel Berkaitan: SPRM Bekukan Akaun Aman Palestin, Disyaki Dana RM70 Juta Disalurkan Bagi Tujuan Lain

Baca Artikel Berkaitan: Aman Palestin Beri SPRM 3 Hari Untuk Nyahbekukan Akaun Atau Berdepan Tindakan Undang-Undang [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.