fbpx
Now Reading
Langgar Motosikal Dinaiki Empat Beranak, Pemandu Trak Pikap Ditahan Polis [Video]

Langgar Motosikal Dinaiki Empat Beranak, Pemandu Trak Pikap Ditahan Polis [Video]

Sebelum ini tular dakwaan mengatakan ia adalah insiden langgar lari, namun video penuh menunjukkan pemandu Ford Ranger itu telah berlari ke arah motosikal yang dilanggarnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular satu video dashcam di media sosial memaparkan kejadian kemalangan apabila empat beranak yang sedang menaiki motosikal terjatuh selepas dihimpit sebuah kereta dipercayai berlaku di Lebuhraya Besraya berdekatan persimpangan Puchong.

Menerusi video berkenaan, awalnya kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berjenama Ford Ranger berwarna kelabu berada di lorong kanan.

Himpit dan rempuh motosikal dinaiki empat beranak semasa menukar lorong

Namun secara tiba-tiba kereta berkenaan telah menukar laluannya ke lorong kiri dan menghimpit dan merempuh sebuah motosikal yang dinaiki oleh empat beranak.

Kejadian itu telah menyebabkan motosikal yang dinaiki oleh keluarga itu terjatuh di atas jalan.

Dalam video berkenaan turut kelihatan penunggang dan isterinya segera mengangkat anak mereka untuk dibawa ke bahu jalan.

Selain itu dapat dilihat terdapat beberapa pengguna jalan raya turut memberhentikan kenderaan dengan segera untuk membantu empat beranak berkenaan.

Walau bagaimanapun difahamkan kejadian kemalangan itu bukan langgar lari seperti yang didakwa banyak pihak kerana pada penghujung video kelihatan pemandu itu berlari ke arah empat beranak tersebut.

Polis tahan pemandu Ford Ranger

Susulan daripada kejadian itu, pihak polis kemudiannya telah menahan pemandu pancuan empat roda tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh memaklumkan kemalangan itu telah menyebabkan penunggang motosikal serta anaknya mengalami kecederaan.

“Kemalangan membabitkan motosikal ditunggang suami isteri berusia 30 tahun bersama anak mereka berumur lima dan tujuh tahun, manakala Ford Ranger dipandu lelaki berusia 21 tahun.

“Dalam insiden itu, penunggang motosikal dan anaknya cedera ringan, manakala individu lain tidak cedera.

“Kedua-dua pihak membuat laporan polis mengenai kemalangan dan susulan itu, kami menahan pemandu Ford Ranger untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” jelasnya, lapor Harian Metro.

Sarifudin dalam masa sama turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan terbabit untuk menghubungi pihak JSPT Kuala Lumpur di talian 03 2071 9999 bagi membantu siasatan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.