fbpx
Now Reading
Pemandu Trak Pikap Langgar Motosikal Dinaiki Empat Beranak Didenda RM6,000

Pemandu Trak Pikap Langgar Motosikal Dinaiki Empat Beranak Didenda RM6,000

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya tertuduh, Mohammad Harith Ismail gagal membayar denda sebanyak RM6,000.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular video di media sosial kemalangan membabitkan empat beranak yang terjatuh apabila motosikal dinaiki dihimpit oleh sebuah kenderaan Ford Ranger di Lebuhraya Besraya.

Dalam rakaman dashcam yang tular kelihatan kereta pacuan empat roda itu telah menukar laluannya dari lorong kanan ke lorong kiri secara mengejut sebelum menghimpit dan merempuh motosikal yang dinaiki empat beranak tersebut.

Walau bagaimanapun, kelihatan pemandu 4×4 itu datang ke arah keluarga tersebut dan tidak lari seperti yang didakwa oleh segelintir pihak, dia lalu ditahan pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Baca artikel berkaitan: Langgar Motosikal Dinaiki Empat Beranak, Pemandu Trak Pikap Ditahan Polis [Video]

Mahkamah jatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap pemandu Ford Ranger

Terbaharu, Mahkamah Majistret pada hari ini (13 Disember) telah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap pemandu pacuan empat roda berkenaan.

Hukuman itu telah diputuskan oleh Majistret Fatin Dayana Jalil selepas pemandu Ford Ranger, Mohammad Harith Ismail yang berusia 22 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Penjara empat bulan jika gagal bayar denda

Sekiranya gagal membuat pembayaran denda tersebut, mahkamah turut memerintahkan Mohammad Harith yang juga bekerja sebagai pereka grafik untuk dipenjara selama empat bulan.

Menurut laporan Berita Harian, berdasarkan pertuduhan yang dibacakan pemandu tersebut telah didakwa memandu secara tidak cermat di Lebuh Raya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong pada 12 Disember, jam 12.30 tengah hari.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind telah memohon agar hukuman yang setimpal dikenakan kepada pemandu tersebut kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Merayu diberikan hukuman ringan kerana tak sengaja dan tidak larikan diri

Namun, pemandu tersebut telah merayu agar hukuman ringan dikenakan ke atasnya selain turut mengakui melakukan kesalahan itu secara tidak sengaja.

“Saya bukan orang sini (berasal dari Kuala Lumpur). Jadi, tidak tahu selok-belok jalan di lokasi kejadian.

“Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa, sebaliknya terus hantar ke hospital,” jelasnya yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

Insiden kemalangan yang perlaku itu telah menyebabkan pasangan suami isteri itu mengalami jari kaki patah, luka di bahagian betis dan anaknya pula cedera di kepala, retak tulang pipi serta patah jari kaki.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.