fbpx

Kes 4 Beranak Dilanggar Trak Pikap, Mangsa Mohon Henti Kecam Pemandu Ford Ranger

Menurut Shiera pemandu Ford Ranger itu tidak melarikan diri sebaliknya menemani mereka sepanjang berada di hospital.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 12 Disember lalu, tular video dashcam di media sosial menunjukkan kemalangan yang menyebabkan motosikal dinaiki empat beranak telah terjatuh selepas dihimpit oleh kenderaan Ford Ranger.

Menerusi video itu, kelihatan pemandu 4×4 itu secara mengejut telah mengubah laluannya dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum bertindak menghimpit dan merempuh motosikal tersebut di persimpangan jalan.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong.

Pemandu tidak langgar lari sebaliknya bantu mangsa kemalangan

Kejadian kemalangan itu telah menyebabkan orang ramai mengecam tindakan pemandu tersebut malah ada juga yang mendakwa ia adalah kemalangan langgar lari.

Ia bagaimanapun disangkal selepas video penuh insiden sohor menyaksikan pemandu berkenaan berlari ke arah mangsa sekeluarga dan dilaporkan menghantar mereka ke hospital.

Baca artikel berkaitan: Langgar Motosikal Dinaiki Empat Beranak, Pemandu Trak Pikap Ditahan Polis [Video]

Pemandu Ford Ranger kena denda RM6,000

Susulan daripada kejadian itu, pemandu Ford Ranger berkenaan telah didenda oleh Mahkamah Majistret semalam (13 Disember) sebanyak RM6,000 selepas dia mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Mohammad Harith Ismail, 22, dipenjarakan selama empat bulan jika gagal membayar denda.

Hukuman tersebut bagaimanapun tidak meredakan kemarahan orang ramai memandangkan ada yang masih menyangkakan dia lari ketika kemalangan berlaku.

Baca artikel berkaitan: Pemandu Trak Pikap Langgar Motosikal Dinaiki Empat Beranak Didenda RM6,000

Mangsa empat beranak minta henti kecam pemandu trak pikap

Sedar pemandu itu terus dikecam, isteri yang juga mangsa empat beranak yang dikenali sebagai Shiera meminta orang ramai untuk berhenti mengecam pemandu berkenaan.

Dia juga turut memanjatkan kesyukuran kerana keluarganya tidak mengalami kecederaan yang parah disebabkan kemalangan itu.

Dalam perjalanan pulang ke rumah lepas makan tengah hari

Menurutnya, kejadian kemalangan itu berlaku pada jam 12.30 tengah hari selepas pulang daripada makan tengah hari bersama anak-anak.

“Alhamdulillah, Allah jaga kami berempat.

“Selepas habis waktu persekolahan, kami menjemput kedua-dua anak, Nurul Hana Sumayyah Muhammad Amali, 6, dan Nurul Naura Nuha Muhammad Amali, 5 daripada tadika.

“Mereka minta nak makan di sebuah restoran. Dah beberapa hari sebut nak makan di situ. Kebetulan kelmarin (12 Disember) suami, Muhammad Amali yang bekerja di sebuah kilang, ada masa terluang jadi kami tunaikan hasrat anak.

“Selesai makan kami menghala pulang ke rumah di Cheras, ketika tiba di lokasi, trak tersebut nak masuk laluan kiri lalu merempuh kami,” kata Shiera, dipetik mStar.

Saksi bawa mangsa ke hospital untuk dapatkan rawatan

Jelasnya sebaik terjatuh dia dan suami segera mengangkat anak-anak kerana ingin menyelamatkan mereka terlebih dahulu selain turut memaklumkan mereka kemudian telah dibawa ke Hospital Serdang oleh saksi yang berada di belakang motosikal mereka.

Menurutnya insiden kemalangan itu telah menyebabkan suami mengalami patah dua jari kaki di bahagian kanan manakala anak keduanya, Hana pula patah tulang pipi serta hidung.

Anak bongsunya iaitu Naura hanya mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan sudah menerima dua jahitan di dahi dan memaklumkan dia pula hanya mengalami luka kecil sahaja.

Berulang kali minta maaf dan mengaku salah

Ujar Shiera, sepanjang berada di hospital untuk mendapatkan rawatan pemandu trak pikap itu juga sentiasa ada bersama mereka.

“Selepas kami jatuh motor, dia tak lari tapi berhentikan kenderaan jauh sikit sebab lokasi itu selekoh. Dia berulang kali minta maaf, mengaku salah sebab tak perasan kami.

“Dia pun tolong angkat barang dan ikut sekali ke hospital hinggalah selesai. Pemuda itu sangat bertanggungjawab, malah dia keberatan untuk beredar daripada hospital biarpun kami minta dia buat laporan polis bimbang keselamatan dirinya.

“Syarikat tempatnya bekerja juga bertemu kami bertanya khabar dan beri jaminan untuk bertanggungjawab membayar kos baiki motosikal serta perubatan.”

Tambahnya lagi, suami yang juga bekerja sambilan sebagai penghantar makanan serta anaknya kini telah beransur baik selepas menerima rawatan susulan.

Namun doktor meminta untuk membuat pantauan kepada anak-anak sekiranya mereka muntah dan sebagainya selain turut menyatakan anak kecil itu sedikit trauma dengan kejadian tersebut.

Tak salahkan pemandu 4×4 atas perkara yang berlaku

Shiera dalam masa sama meminta orang ramai untuk berhenti mengecam Mohammad Harith dan enggan memanjangkan lagi isu tersebut.

“Kami tak salahkan dia.. benda pun dah berlaku. Kami hanya serahkan kepada pihak polis.

“Kami juga ada buat silap dalam hal ini namun tak jangka benda ni terjadi. Mana ada ibu bapa yang mahu benda seperti ini menimpa anak-anaknya.

“Apa-apapun, semoga kita lebih berhati-hati ketika berada di atas jalan raya.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.