fbpx
Now Reading
Kes Lelaki Maut Terkena Letupan Bunga Api, Ini Respon Lexis Hibiscus Port Dickson

Kes Lelaki Maut Terkena Letupan Bunga Api, Ini Respon Lexis Hibiscus Port Dickson

Insiden letupan bunga api yang berlaku di Lexis Hibiscus itu telah menyebabkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular di media sosial video insiden bunga api meletup di bumbung pusat peranginan, Lexis Hibiscus, Port Dickson.

Kejadian itu telah menyebabkan seorang lelaki berusia 40 tahun maut dan rakannya berusia 39 tahun pula cedera parah selepas terkena serpihan bunga api..

Berlaku semasa buat persiapan tahun baharu

Difahamkan kejadian itu berlaku pada jam 12.30 tengah hari semasa pekerja resort berkenaan sedang membuat persiapan untuk sambutan tahun baharu.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, mangsa merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api.

Kes itu bagaimanapun masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Dapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk buat pertunjukan bunga api

Terbaharu, Lexis Hibiscus memaklumkan pertunjukan bunga api yang sepatutnya diadakan di resort berkenaan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan oleh resort berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

“Di Lexis Hotel Group, keselamatan adalah keutamaan kami dan siasatan menyeluruh oleh PDRM sedang dilakukan untuk mengetahui punca insiden berlaku.

“Semua langkah keselamatan telah dipatuhi dengan teliti dan pekerja profesional yang terlibat mempunyai hubungan kerja yang baik dengan kumpulan hotel serta rekod keselamatan yang sempurna.

“Kesemua prosedur selaras dengan pertunjukan bunga api yang dilakukan termasuk perolehan kelulusan daripada pihak berkaitan seperti PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kami bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan akan mengambil langkah untuk mencegah insiden seperti itu berlaku lagi di masa hadapan,” ujarnya.

Harap orang ramai tak buat spekulasi

Pihak resort berkenaan dalam masa sama turut berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut dan tidak berkongsi sebarang gambar mahupun video berhubung insiden itu bagi menghormati permintaan keluarga mangsa.

Pihaknya turut memaklumkan insiden yang berlaku itu menyebabkan pihak resort tidak dapat membuat pertunjukkan bunga api yang sepatutnya dijadualkan pada malam tahun baru atas faktor keselamatan.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kekecewaan yang timbul. Kami menghargai pemahaman dan sokongan anda semasa kami mengharungi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Resort berkenaan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.