fbpx
Now Reading
CNY Dah Hari Ke-6, Tapi Kenapa Meriah Dengar Bunga Api Malam Tadi? Ini Penjelasannya

CNY Dah Hari Ke-6, Tapi Kenapa Meriah Dengar Bunga Api Malam Tadi? Ini Penjelasannya

Mengikut budaya Cina, setiap bunga api yang dibakar pada waktu tertentu mempunyai simbolik dan makna tersendiri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap kali perayaan, sama ada Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun Hari Raya Aidilfitri, pasti akan disambut meriah dengan bunyi mercun dan persembahan bunga api.

Walaupun persembahan bunga api dilihat sebagai satu hiburan, namun sebenarnya ada masyarakat yang menjadikannya sebagai satu budaya.

Bagi masyarakat Cina, api dan bunyi bising yang dihasilkan oleh bunga api boleh menghalau nasib buruk dan menakutkan roh jahat.

Mungkin sesetengah daripada kita ada terdengar bunyi mercun yang kuat pada malam semalam, yakni malam kelima tahun baru. Persoalannya kenapa? Kan Tahun Baru Cina dah masuk hari kelima semalam.

Sebenarnya ia bersebab dan mempunyai simboliknya tersendiri mengikut budaya masyarakat Cina.

5 Waktu Utama Bunga Api Dipasang

Bunga api bukan sahaja dimainkan sewaktu malam Tahun Baru Cina, tetapi juga pada Hari Raya Cina, hari kelima dan hari kelima belas iaitu ketika Pesta Tanglung. Bunga api mahupun mercun yang dipasang pada hari tertentu mempunyai maknanya yang tersendiri.

Di bawah kami kongsikan simbolik bagi setiap acara membakar bunga api dan mercun itu.

#1 Sebelum Makan Besar Malam Tahun Baru

Bunga api akan dipasang pada sebelah petang sebelum makan besar Tahun Baru Cina. Bunyi bising yang dihasilkan bertujuan untuk menjemput nenek moyang yang telah tiada di sini, bagi menikmati perhimpunan keluarga.

#2 Tengah Malam Tahun Baru

Bunga api yang biasa kita dengar adalah yang dipasang tepat pada tengah malam tahun baru. Masyarakat Cina akan berjaga dan memasang bunga api pada waktu ini untuk menakutkan roh jahat dan meraikan ketibaan tahun yang baru.

#3 Pagi Tahun Baru

Selain daripada bunga api, mercun juga merupakan satu aspek penting dalam meraikan Tahun Baru Cina. Kebiasannya menggunakan mercun papan, ia akan dipasang pada waktu awal pagi tahun baru setelah pintu rumah dibuka.

Masyarakat Cina mempercayai bahawa lebih bagus jika mercun ini diletupkan lebih awal. Juga digelar kāi cái mén (membuka pintu rezeki), ia bertujuan untuk membawa nasib baik dan kekayaan bagi sesebuah keluarga.

Tarian singa merupakan antara tradisi Tahun Baru Cina. (Kredit: Pexels)

#4 Hari Ke-5 Tahun Baru

Hari kelima Tahun Baru Cina dikenali sebagai pò wǔ, dengan ‘pò’ bermakna ‘untuk memecahkan’ manakala ‘wǔ’ pula bermakna ‘lima’.

Dipercayai bahawa banyak pantang larang boleh dilanggar pada hari ini dan bunga api dipasang bagi menghilangkan nasib malang.

Ha, inilah yang meriah sangat malam tadi. So, korang dah faham dah?

#5 Hari Ke-15 Tahun Baru

Malam ke-15 ini menandakan bulan penuh yang pertama dalam tahun baru cina. Memasang bunga api pada malam ini menandakan pengakhiran tahun baru dan melambangkan harapan masyarakat bagi masa hadapan yang baik.

Ia juga merupakan malam ketika mana Pesta Tanglung diraikan bagi menghormati nenek moyang mereka yang telah meninggalkan bumi ini. Ia juga bertujuan untuk membangkitkan perdamaian dan pengampunan sesama manusia.

Namun di Malaysia, hari ini lebih dikenali sebagai Chap Goh Mei atau Chinese Valentine’s Day, iaitu hari di mana orang ramai akan mencari pasangan sejati mereka.

Bunga Api Budaya Masyarakat Cina Sejak Dahulu

Membakar bunga api ketika Tahun Baru Cina telah menjadi budaya masyarakat itu sejak sekian lamanya.

Lagenda menceritakan bahawa terdapat seekor raksasa digelar Nian (juga bermaksud ‘tahun’) pada suatu masa dahulu. Pada malam Tahun Baru Cina, raksasa ini akan keluar untuk memakan manusia dan memusnahkan tanaman mereka.

Masyarakat ketika itu mendapat tahu bahawa raksasa Nian takut dengan api dan bunyi kuat, jadi mereka membakar batang buluh untuk menakutkannya. Sejak itu, raksasa tersebut tidak pernah lagi datang dan membakar bunga api menjadi tradisi sewaktu Hari Raya Cina.

Gambaran raksasa Nian. (Kredit: Confucius Institute for Scotland)

Sejarah Bunga Api

Sebelum bunga api moden dicipta, manusia membakar batang buluh untuk menghasilkan letupan kecil. Angin di dalam batang ini akan mengembang apabila dipanaskan dan akan meletup menghasilkan bunyi yang kuat.

Apabila serbuk letupan telah dicipta, ia dibakar di dalam batang buluh untuk menghasilkan bunyi letupan yang lebih kuat.

Kemudian, mercun dihasilkan daripada serbuk letupan dengan menggulungnya di dalam kertas. Kini, bukan sahaja terdapat mercun yang menghasilkan bunyi kuat, tetapi juga bunga api dengan cahaya menarik.

Untuk mendapatkan reaksi sedemikian di dalam bunga api, unsur logam dimasukkan ke dalamnya serta menghasilkan api dan percikan berwarna-warni seakan-akan bunga.

Bunga api moden menghasilkan percikan pelbagai warna dan berbentuk seperti bunga. (Kredit: Unsplash)

Hari Keenam Tahun Baru Cina

Hari ini (15 Februari 2024) merupakan hari keenam bagi perayaan tahun baru cina kali ini. Mungkin ada sesetengah daripada anda yang baru sahaja memulakan kerja kerana syarikat ditutup sehingga semalam.

Untuk makluman, sesetengah syarikat Cina hanya akan beroperasi selepas hari kelima tahun baru. Hal ini adalah dipercayai bahawa roh jahat akan berkeliaran di bumi sejak hari ketiga.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.