Baru-baru ini, kecoh di media sosial dengan penularan video yang mendakwa satu maskot katak viral telah disaman oleh penguat kuasa.
Menerusi video yang tular kelihatan maskot katak berkenaan berdiri di sebelah seorang angggota pihak berkuasa tempatan, sambil matanya melihat ke arah ‘buku resit’ yang sedang ditulis oleh penguatkuasa berkenaan.
“Kesian katak dah kena saman,” tulisnya.
Video tersebut turut dikongsikan di Instagram @kongsi.viral hingga menarik perhatian apabila ramai yang bersimpati dengan nasib katak berkenaan.
Maskot katak hanya diberi resit permit bukan disaman seperti yang didakwa
Terbaharu Datuk Bandar negeri Melaka, Datuk Shadan Othman menjelaskan maskot viral berkenaan tidak disaman Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) seperti yang didakwa netizen.
Sebalinya maskot itu hanya mendapat resit bayaran permit sementara yang dibuat oleh mana-mana pihak yang melakukan aktiviti tersebut.
“Kodok (katak) bukanlah dikenakan saman atau kompaun seperti yang ditularkan tetapi resit bayaran permit sementara dibuatnya bagi Program Santai@Bandar Hilir pada setiap hari Sabtu.
“Permit sementara ini adalah untuk mengawal pendatang asing daripada melakukan pekerjaan kostum sebegini yang pernah diadukan oleh orang ramai,” ujarnya dipetik Kosmo.
MBMB keluarkan permit kepada semua pihak yang menjalankan perniagaan termasuk maskot
Jelasnya lagi, program tersebut telah diadakan sejak 2023 malah penguat kuasa MBMB juga telah bertindak mengeluarkan permit kebenaran untuk aktiviti perniagaan yang dijalankan di kawasan berkenaan dan ini termasuklah dengan maskot.
Beliau dalam pada itu, turut berharap agar orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga boleh menimbulkan spekulasi.
“Pihak kami berharap orang ramai tidak bertindak terburu-buru untuk menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi kurang menyenangkan.”