Sejak semalam (3 Januari), tular video di media sosial insiden kemalangan membabitkan sebuah lori dan juga kereta Honda City di stesen minyak Petronas Manjalara, Kepong, Kuala Lumpur.
Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) awalnya kelihatan lori berkenaan berhenti di bahagian pam minyak dipercayai untuk mengisi bahan api. Tidak lama kemudian datang kereta berkenaan dari arah belakang dan sedang menunggu laluan selamat untuk menyusur keluar dari stesen minyak tersebut.
Namun secara tiba-tiba lori berkenaan mengundur ke belakang dan kemudian merempuh kereta Honda berwarna putih itu.
Tinggalkan lori untuk membuat pembayar sebelum kenderaan mengundur secara tiba-tiba
Terbaharu Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh memaklumkan insiden tersebut berlaku pada jam 10.30 pagi, semalam (3 Januari).
Hasil siasatan mendapati ketika insiden berlaku pemandu lori berusia 52 tahun yang membawa muatan besi telah meninggalkan kenderaannya untuk menuju ke kaunter bagi membuat pembayaran.
“Dalam masa sama, tiba-tiba lori tersebut telah bergerak secara mengundur ke belakang lalu melanggar kenderaan Honda City yang sedang berhenti di simpang jalan Petronas tersebut untuk memasuki jalan utama,” katanya.
Walau bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku kepada kedua-dua pemandu termasuklah orang awam.
Kes diklasifikasikan di bawah Rule 14(1) LN 165/59 kerana tidak menarik handbrake dengan kemas.