fbpx
Now Reading
KPDN Tahan Lelaki Jual Baju Berjenama Tiruan & Sita 5,050 Helai Pakaian Bernilai RM40,400

KPDN Tahan Lelaki Jual Baju Berjenama Tiruan & Sita 5,050 Helai Pakaian Bernilai RM40,400

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang, hasil siasatan awal mendapati bekalan pakaian jenama tiruan berkenaan diperolehi daripada pembekal di Kuala Lumpur sejak tahun 2020.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak dahulu lagi, jenama-jenama terkenal antaranya seperti Adidas, Nike dan Fila sering menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab dengan menghasilkan produk tiruan.

Antara produk tiruan jenama terkenal yang sering terdapat di pasaran adalah pakaian dan kasut. Ini kerana ia boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah berbanding produk asli.

Namun, menjual produk tiruan merupakan satu kesalahan dan pelaku boleh dikenakan hukuman akibat daripada perbuatan ini.

Lelaki Ditangkap Jual Baju Jenama Tiruan, Rampas Produk Tiruan Bernilai RM40,400

Gara-gara menjual baju jenama tiruan di media sosial selama enam bulan dan menjana pendapatan RM1,000 sehari, seorang pemuda berusia 27 tahun ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang semalam (9 Januari).

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang A Mogan, serbuan yang dilakukan pada jam tiga petang itu mendapati lelaki berkenaan menjadikan sebuah rumah di flat Projek Perumahan Awam (PPR), Air Itam Pulau Pinang sebagai tempat simpanan produk pakaian jualannya dengan bayaran sewa bulanan hanya RM500.

Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut juga mendapati stok pakaian yang ditemui menggunakan cap dagangan berdaftar pelbagai jenama ternama antaranya seperti Adidas, Nike dan Puma yang disyaki palsu.

Ketika serbuan dilakukan, stok tersebut hampir memenuhi segenap ruang flat yang terletak di aras paling bawah hingga hampir mencecah siling premis tersebut.

“Jumlahnya terlalu banyak dan belum habis dikira tetapi pihak kami sudah menyita 5,050 helai pakaian menggunakan cap dagangan jenama berkenaan untuk siasatan lanjut yang dianggar bernilai RM40,400.

“Serbuan itu dijalankan selepas pihak kami menerima aduan daripada pemilik wakil cap dagang dengan modus operandi kes ialah lelaki terbabit menjalankan aktiviti jualan melalui siaran langsung menggunakan aplikasi media sosial,” katanya.

Bekalan Diperolehi Daripada Kuala Lumpur, Jual Secara Langsung Melalui Media Sosial

Jelas A Mogan lagi, hasil siasatan awal mendapati bekalan pakaian berkenaan diperolehi daripada pembekal di Kuala Lumpur sejak tahun 2020.

Namun, lelaki berkenaan mula menjual produk tersebut melalui siaran langsung di TikTok pada pertengahan tahun lalu.

Malah, A Mogan tidak menolak sekiranya barang yang dijual dengan harga serendah RM8 itu dipasarkan secara meluas sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dengan KPDN mengalu-alukan maklumat dan aduan orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: Jual Kasut Adidas & Nike Tiruan, Tiga Individu & Syarikat Didenda RM607,880

Baca Artikel Berkaitan: Amerika Syarikat Senaraikan Petaling Street Sebagai Lokasi Popular Jual Barang Cetak Rompak & Tiruan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.