fbpx
Now Reading
Trend Makanan Viral: Pakar Nasihat Jangan Terjebak Sindrom ‘Takut Ketinggalan’

Trend Makanan Viral: Pakar Nasihat Jangan Terjebak Sindrom ‘Takut Ketinggalan’

Menurut Pakar Psikologi dan Suisidologi, Dr. Adnan Omar menyifatkan trend itu sebagai FOMO (Fear of Missing Out).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Perkembangan teknologi pada masa kini diakui membantu memudahkan kehidupan seharian. Selain daripada dapat menjimatkan masa, ia juga berfungsi sebagai medium penyampaian maklumat terpantas melalui platform media sosial.

Bagi golongan peniaga, kebanyakannya mengakui media sosial sebagai salah satu medium pemasaran yang efektif dalam memasarkan produk mereka.

Ia dapat dilihat apabila munculnya sesuatu makanan yang unik terutamanya dari negara luar, makanan itu akan menjadi ‘viral’ hingga menyebabkan ramai orang mahu mencubanya.

Seperti trend makanan Cromboloni pada masa kini, dapat dilihat orang ramai sanggup mengeluarkan wang ringgit walaupun kualiti pastri tersebut tidak setanding dengan harga.

Malah, ada segelintir yang sanggup beratur sehingga enam jam lamanya bagi mendapatkan pastri tersebut.

Pakar Sifatkan Situasi Sebagai FOMO

Menurut Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia Dr. Adnan Omar, beliau menyifatkan keadaan itu sebagai FOMO (Fear of Missing Out) dan ia bukanlah satu fenomena yang baru dalam masyarakat.

Menurut beliau yang juga merupakan Pakar Psikologi dan Suisidologi, FOMO merupakan gabungan perasaan rindu, hendak dan takut seseorang individu ditinggalkan atau dikecualikan daripada perkara sedang ‘trending’.

“Kebiasaannya FOMO terjadi dalam kalangan remaja yang masih membina identiti ataupun orang dewasa yang belum ada identiti stabil. Jadi mereka mencari ‘in-group’, supaya tidak mahu kelihatan ketinggalan dalam apa jua perkara.

“Bahasa lama dia ialah ‘peer-pressure’ (tekanan rakan sebaya). Mereka yang sedang mencari ‘in-group’ masih mencari ‘siapa saya, saya nak ikut siapa’. Sebab itu banyak kes-kes dalam kalangan remaja, sesuatu perkara dilakukan di luar kebiasaan.

“Fenomena ini berkait rapat dengan media sosial dan hampir seluruh rakyat Malaysia mempunyai sindrom ini.

“Ini yang kita panggil ‘global village’ (desa global) di mana dunia dapat dianalogikan menjadi sebuah desa yang sangat besar dan luas,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

‘Global Village’ Boleh Beri Kesan Kepada Masyarakat

Jelas Adnan, ‘Global Village’ ini boleh memberikan kesan kepada individu dan masyarakat di mana mereka lebih memfokuskan perkara yang terjadi di luar kawasan berbanding perkara yang lebih dekat dengan mereka antaranya seperti keluarga dan agama.

“Contohnya, kita ambil makanan sebab makanan lebih laju ‘trending’ berbanding hiburan lain. Apabila makanan luar negara seperti Korea, Jepun dan Indonesia umpamanya masuk ke Malaysia, orang kita berlumba-lumba nak beli sebab nak sertai ‘trend’ tu. Sedangkan makanan kita banyak lagi yang lebih baik,” jelasnya lagi.

Individu Digalakkan Tidak Mudah Terpengaruh & Teroka Identiti Diri

Ujar Adnan lagi, individu seharusnya mencari identiti diri dan apa yang mahu dilakukan dalam kehidupan masing-masing walaupun hakikatnya pencarian identiti itu memerlukan asas yang kuat dan kukuh.

Ia penting bagi memastikan seseorang itu tidak mudah terpengaruh dan cuba untuk menjadi ‘in group’ dengan mana-mana kumpulan hingga terjebak melakukan perkara yang di luar kebiasaan.

“Sepatutnya di usia 17 hingga 18 tahun, dah tahu apa nak buat dengan hidup.

“Bila ada media sosial pula, dia akan memanjangkan tempoh tersebut. Sebab itu bila dah usia 20-an atau 30-an, mereka masih tiada identiti diri dan se­ring terikut-ikut dengan ‘trend’.

“Di usia 20-an, seseorang perlu tahu apa makanan ke­gemaran. Ramai tak tahu yang makanan itu mencerminkan identiti. Makanan itulah budaya dan bagaimana seseorang dibesarkan,” jelasnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: “Sampai RM15 Seketul” – Peniaga Jual Cromboloni Tapi Macam Roti Bom Bikin Ramai Geram

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Netizen Pertikai Tindakan Pelanggan Sanggup Beratur 6 Jam Demi Cromboloni Viral

Baca Artikel Berkaitan: “Bukan Kita Kelaparan 6 Tahun” – Ustaz Azhar Idrus Bidas Netizen Sanggup Beratur Lama Untuk Beli Makanan Viral

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.