fbpx
Now Reading
Bekas Pramugara Malaysia Saman Singapore Airlines RM6.3 Juta, Dakwa Jatuh Terpijak Gris

Bekas Pramugara Malaysia Saman Singapore Airlines RM6.3 Juta, Dakwa Jatuh Terpijak Gris

Pihak Singapore Airlines (SIA) bagaimanapun menafi dan mempertikai dakwaan yang dibuat oleh bekas kru kabin mereka yang dikenali sebagai Durairaj Santiran.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang bekas kru kabin, Durairaj Santiran, dilaporkan menuntut ganti rugi lebih SGD1.7 juta (RM6.3 juta) dari Singapore Airlines (SIA) selepas mendakwa terjatuh ketika berada dalam satu pesawat milik syarikat itu.

Dia yang merupakan seorang rakyat Malaysia dan telah bertugas bersama SIA dari 2016 hingga 2021 mendakwa terjatuh dan tergelincir akibat tampalan gris yang licin di dalam pesawat A350 ketika dalam penerbangan dari San Francisco ke Singapura pada 5 September 2019.

Menurutnya, dia telah terjatuh ke belakang dan kepalanya terhentak sewaktu penerbangan ke Singapura akan tiba lagi dua jam setengah. Dia juga mendakwa insiden tersebut menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja sebagai pramugara.

Sehubungan dengan itu, Durairaj telah membuat tuntutan sejumlah SGD1,775,662.49 (RM6.3 juta) sebagai ganti rugi setelah didiagnosis dengan prolaps cakera serviks akibat insiden tersebut, lapor Berita Harian.

Ganti rugi yang diminta adalah sebanyak SGD1.29 juta (RM4.57 juta) bagi kerugian pendapatan masa depan, SGD30,000 (RM106 ribu) untuk kerugian keupayaan mencari pendapatan serta SGD150,000 (RM531 ribu) bagi kos perubatan dan pengangkutan masa depan.

Akses Ke Lokasi Bahaya Tidak Ditutup

Bekas pramugara itu telah hadir ke mahkamah semalam (13 Februari) bagi hari pertama saman dengan memakai pendakap leher.

Dalam kesnya, dikatakan bahawa bekas majikannya itu gagal menyediakan sistem kerja dan tempat yang selamat untuk bekerja. Ia juga didakwa gagal menangani dengan secukupnya kehadiran tampalan gris sehingga menyebabkan kawasan itu menjadi tidak selamat.

“Sekiranya penjagaan yang munasabah dilakukan, tampalan gris itu akan dialihkan atau langkah sedemikian diambil untuk menghalang akses ke lokasi yang tidak selamat,” kata peguam yang mewakili Durairaj dari East Asia Law Corporation.

Peguam tersebut menerangkan salah satu cari majikan boleh menghalang akses ke lokasi berkenaan iaitu dengan meletakkan kereta tolak di atas kawasan tersebut.

“Fakta bahawa defendan tidak mengambil sebarang ‘langkah pencegahan’ menunjukkan kecuaian defendan kerana sistem kerja tidak mencukupi dan tempat kerja dibiarkan tidak selamat.”

Peguam pada Durairaj

Kesan Gris Di Lantai Dapur Pesawat

Menurut kenyataan oleh Durairaj, dia melihat kesan gris di lantai dapur berhampiran ketuhar ketika sedang meronda dalam pesawat setelah kru pembersihan keluar, yakni sebelum penerbangan berlepas.

Dia yang memaklumkan perkara tersebut kepada seorang pegawai atasan diminta supaya menanggalkan gris itu menggunakan semburan pembersih dengan tuala kertas.

Sewaktu itu, pintu pesawat telah ditutup. Durairaj gagal menanggalkan tampalan gris tersebut dan memaklumkan hal itu kepada pegawai atasan yang sama. Pegawai terbabit kemudian memberitahunya serta kru kabin lain agar berhati-hati dengan tampalan gris itu.

SIA Nafi Dakwaan Bekas Pramugara

Syarikat penerbangan nasional Singapura itu bagaimanapun menafikan dakwaan yang dilakukan oleh Durairaj, lapor Straits Times.

Peguam SIA, Niru Pillai dan Liew Teck Huat, menjelaskan dalam kenyataan pembukaan bahawa anak guamnya membayar kesemua tuntutan sah yang dilakukan oleh pekerja.

“Pihak defendan menganggap tuntutan ini amat meragu-ragukan dan mereka wajib mencabarnya dengan tegas.”

Peguam pada SIA

Di samping itu, pihak defendan menerangkan bahawa bekas pramugara itu telah melakukan dua tuntutan kecederaan kerja pada tahun 2017 dan 2018 sebelum ini yang dituruti oleh SIA. Durairaj telah diberikan pampasan bagi kecederaan belakang dan leher menerusi proses Work Injury Compensation Act (WICA).

Bagi insiden terjatuh pada tahun 2019, pihak penanggung insurans SIA membantah tuntutan WICA atas dasar kecederaan yang dialaminya adalah sedia ada.

Tambahan lagi, syarikat penerbangan itu mengambil maklum bahawa tiada individu lain yang tergelincir atau terjatuh di tampalan gris yang didakwa.

Ia menegaskan tiada sebarang tampalan gris “di atas lantai di kawasan dapur kelas ekonomi berhampiran ketuhar di sebelah kabinet (island) dapur” seperti didakwa. Katanya lagi, Durairaj tidak terjatuh di kawasan tersebut.

SIA juga mempertikaikan dakwaan Durairaj bahawa dia tergelincir dan terjatuh ketika sedang “berjalan ke kawasan dapur sementara menyediakan hidangan seterusnya”. Ini adalah kerana waktu penyediaan hidangan masih belum bermula ketika itu.

Durairaj Kekal Duduk Setelah Terjatuh

Durairaj berkata dia telah dibantu rakan sekerja lain untuk duduk di tempat duduk kru setelah terjatuh. Namun begitu, SIA berkata dia sebenarnya dibawa duduk di tempat duduk 21F di Kelas Perniagaan dan berada di situ sehingga kapal terbang mendarat.

Menurut Today Online, dia kemudiannya dibawa keluar menaiki kerusi roda apabila tiba di Lapangan Terbang Changi. Satu imbasan MRI telah dijalankan pada 10 September 2019 dan dia didiagnosis dengan prolaps cakera serviks, atau ‘slipped disc’.

SIA juga dilaporkan berkata jika benar Durairaj tergelincir dan terjatuh sekalipun, ia bukanlah disebabkan oleh tampalan gris yang didakwa itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.