Sebelum ini, seorang bekas wartawan warga asing yang dikenali sebagai Christine Hill mendakwa dia hampir diraba 50 orang lelaki warga tempatan di negara ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh bekas wartawan berkenaan di laman X (Twitter) yang mendakwa payudaranya menjadi sasaran ketika berjalan dari Pasar Seni, Kuala Lumpur ke Hotel Shangri La.
Malah dia juga mendakwa telah memukul lebih kurang 50 orang lelaki dengan menggunakan payung kerana mereka cuba untuk memegang payudaranya.
Baca artikel berkaitan: Minah Saleh Dakwa Nyaris Diraba 50 Lelaki Ketika Berjalan Di Kuala Lumpur
Polis minta tampil buat laporan
Terbaharu, Polis Kuala Lumpur mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan diterima pihaknya berhubung kes tersebut.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid wanita yang juga pemilik akaun terbabit diminta untuk tampil di mana-mana balai polis bagi membuat laporan tentang isu itu.
Jika tak buat laporan, kenyataan hanya fitnah tak berasas
Jelasnya, jika wanita warga asing itu tidak melakukan perkara tersebut maka kenyataan yang dikeluarkan di X itu adalah fitnah yang tak berasas dan memburukkan nama Kuala Lumpur.
“Kalau betul ada kejadian (seperti didakwa) buat laporan polis. Jangan sebarkan perkara yang tidak benar dan tidak berasas.
“Ini (dakwaan diraba 50 kali sehari) hanya menimbulkan rasa gusar dan ketakutan orang awam,” jelasnya, dipetik Kosmo.
Tambah beliau lagi, setakat ini tiada sebarang tindakan diambil memandangkan pihaknya tidak menerima laporan berhubung kes yang didakwa wanita terbabit.