Masjid Prima Saujana Kajang Mohon Maaf Laung Azan 4 Minit Awal, Jemaah Perlu Ganti Puasa
Nazir masjid, Mohamad Asri Harun berkata, kekhilafan itu berlaku adalah disebabkan masalah teknikal.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Masjid Prima Saujana Kajang terkhilaf selepas melaungkan azan maghrib empat minit lebih awal daripada waktu sebenar berikutan masalah teknikal pada Sabtu lalu (30 Mac).
Susulan itu, Nazir Masjid Prima Saujana Kajang, Mohamad Asri Harun berkata, pengurusan masjid memohon maaf kepada jemaah yang terjejas ibadah puasa mereka pada hari tersebut.
Perlu ganti semula puasa
Menurutnya lagi, jemaah-jemaah berkenaan yang berbuka puasa berdasarkan azan yang dilaungkan di masjid terbabit juga perlu menggantikan semula puasa mereka.
“Jemaah yang bergantung semata-mata pada laungan azan Maghrib dari Masjid Prima Saujana Kajang untuk berbuka puasa pada hari berkenaan, puasa mereka adalah terbatal serta perlu diganti atau diqada.
“Pihak masjid sudah merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan segala kesulitan amat dikesali,” katanya dalam kenyataan semalam (31 Mac) dipetik Kosmo.
Bagaimanapun, semakan kami di laman Facebook Masjid Prima Saujana Kajang mendapati tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu yang dimuat naik untuk pengetahuan umum.
Waktu diharamkan puasa atau ganti puasa
Umat Islam yang tidak berpuasa ketika Ramadan atau puasanya terbatal wajib mengganti ibadah itu pada bila-bila masa sepanjang tahun.
Pun begitu, terdapat beberapa hari yang diharamkan untuk berpuasa mahupun menqada’ puasa bagi umat Islam.
Berikut hari yang diharamkan berpuasa menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
- Hari Syak iaitu hari yang apabila dia ragu tarikh sebenar Ramadhan (30 Syaaban). Hal ini berdasarkan hadis daripada Ammar bin Yasir r.a yang bermaksud:
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Abu al-Kasim (Muhammad) SAW.”
- Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha iaitu 1 Syawal dan 10 Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.s yang bermaksud:
“Bahawa Rasulullah SAW menegah berpuasa pada dua hari iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha.”
- Hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi SAW yang bermaksud:
“Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan minum juga hari mengingati Allah SWT.”
- Hari haid dan nifas.