fbpx

Suspek Kes Tembak Di KLIA Ditahan Ketika Ambil Laporan Kesihatan Di Hospital, Miliki 4 MyKad Individu Lain

Menurut Pengarah JSJ, Hafizul Harawi juga merupakan seorang hafiz al-Quran dan pernah mengikuti pengajian di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Suspek yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berjaya dicekup polis semalam (15 April) semasa sedang mengambil laporan kesihatan di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.

Suspek yang dikenali sebagai Hafizul Harawi berusia 38 tahun ditahan selepas 36 jam melarikan diri daripada pihak polis

Suspek pandu sendiri kereta dari KLIA ke Kelantan tanpa singgah di mana-mana

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selepas kejadian itu suspek memandu dengan sendiri menuju ke Kelantan dan tidak singgah di mana-mana kawasan.

“Suspek dikatakan tiba di sini selepas Zohor pada hari kejadian.

“Dia kemudian menginap di sebuah hotel di Kota Bharu dengan cara mendaftar menggunakan kad pengenalan milik orang lain,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini (16 April).

Menurutnya, suspek pernah berada di Kelantan seminggu sebelum kejadian berlaku, dia pada waktu itu pulang ke negara melalui sempadan Malaysia-Thailand.

“Suspek sebelum itu dari Arab Saudi telah ke Bangkok kemudian ke Kelantan.

“Semasa di sini suspek dipercayai telah membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal. Kita tangkap sebab suspek nak mengambil laporan tersebut.

“Buat masa ini terlalu awal saya katakan laporan kesihatan tersebut untuk membuat permohonan visa,” katanya lagi.

Suspek dikesan miliki 4 kad pengenalan individu lain, guna untuk daftar hotel

Menurutnya lagi, suspek juga dikesan mempunyai empat kad pengenalan milik individu lain bersamanya dengan salah satu daripada MyKad tersebut telah digunakan untuk mendaftar hotel.

“Disebabkan itu pihak hotel tidak dapat mengesan suspek adalah orang yang polis kehendaki,” ujar Shuhaily.

Suspek seorang hafiz al-Quran, pernah mengaji pondok di Pasir Mas

Mengulas lanjut, Shuhaily berkata suspek juga merupakan seorang hafiz al-Quran dan pernah mengikuti pengajian di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas.

Ujarnya, hasil ujian yang dilakukan pihaknya mendapati Hafizul fasih dengan ayat-ayat al-Quran dan sebagainya.

“Suspek memang orang berkebolehan dalam agama.

“Berkenaan dengan tindakan suspek ke Kelantan, dia lahir di Selangor, membesar di Kuala Lumpur tapi pernah belajar di pondok di sini (Kelantan),” katanya.

Tular berita suami tembak isteri di KLIA tapi terkena pengawal peribadi

Pada Ahad lalu (14 April), negara digemparkan dengan berita seorang suami menembak isterinya di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1, namun terkena kepada pengawal peribadi wanita itu.

Bunyi tembakan itu menyebabkan orang awam yang berada di kawasan terbabit bertempiaran melarikan diri, malah turut tular di media sosial beberapa video semasa kejadian.

Pengawal peribadi isteri kepada suspek itu kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan yang parah di bahagian perut akibat terkena tembakan.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembak Di KLIA: Lelaki Cuba Bunuh Isteri, Terkena Pengawal Peribadi – Polis [Video]

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.