fbpx
Now Reading
Terjebak Dengan Hutang ‘Ah Long’? Ini 5 Cara Selesaikan Masalah Hutang Anda!

Terjebak Dengan Hutang ‘Ah Long’? Ini 5 Cara Selesaikan Masalah Hutang Anda!

Melakukan perancangan kewangan dengan teliti antara cara yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah hutang anda.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Along atau ‘Ah Long’ merujuk kepada syarikat pinjaman wang tanpa lesen. Selain menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen, Ah Long juga digelar sebagai ceti haram kerana mengenakan kadar faedah yang tinggi berbanding pinjaman yang lain.

Walaupun telah berulang kali diberi peringatan tentang perangai Ah Long ini, namun ada segelintir individu yang memilih untuk meminjam wang daripada mereka.

Ini kerana prosesnya yang cepat dan mudah menyebabkan sesetengah individu daripada golongan berpendapatan rendah atau terdesak menjadikan Ah Long sebagai jalan terakhir untuk membuat pinjaman.

Namun, sekiranya anda atau kenalan rapat sudah terjebak dengan Ah Long dan mahu keluar daripada cengkaman mereka, ini lima tips sebagai panduan buat anda.

#1 Rancang Kewangan Untuk Selesaikan Hutang Dengan Secepat Mungkin

Foto: Freepik

Perkara yang paling penting dilakukan sekiranya anda telah membuat pinjaman dengan Ah Long adalah merancang kewangan dengan teliti.

Ini membolehkan anda untuk membayar hutang berkenaan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Senaraikan jumlah hutang dan sertakan sekali dengan jadual bayaran yang lengkap supaya anda tidak terlepas tarikh pembayaran.

Sekiranya sukar, anda boleh menggunakan aplikasi kewangan telefon pintar bagi memantau hutang tersebut.

#2 Jana Pendapatan Tambahan

Foto: Freepik

Kebanyakan individu pada masa kini melakukan dua kerja dalam satu masa bagi menampung kehidupan harian ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat naik.

Jadi, sekiranya anda mempunyai kemahiran atau kebolehan tertentu, cuba gunakannya bagi menambah pendapatan sedia ada.

Sekiranya tiada, anda boleh mencari duit poket ekstra dengan melakukan pekerjaan sampingan seperti menjadi pemandu e-hailing, melakukan perniagaan dalam talian dan sebagainya.

Ini boleh membantu anda untuk menjana pendapatan tambahan dan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan hutang ceti haram.

#3 Selesaikan Hutang Mengikut Jumlah Dan Tempoh Yang Ditetapkan

Foto: Freepik

Ini juga merupakan cara yang paling penting yang perlu anda ikuti. Anda dinasihatkan untuk menyelesaikan hutang mengikut jumlah dan tarikh yang telah dipersetujui.

Jangan lupa untuk rekodkan setiap transaksi seperti tarikh, jumlah bayaran, kadar bunga dan waktu bagi kegunaan di masa hadapan.

Ia penting agar golongan ceti haram ini tidak mengambil kesempatan terhadap anda. Apa yang penting adalah bayar hutang mengikut waktu dan catat setiap butiran bayaran yang dibuat.

#4 Lapor Kepada Pihak Berkuasa Jika Diugut

Kita semua tahu kebanyakan Ah Long sering melakukan kekasaran seperti ugutan dan ancaman kepada peminjam walaupun peminjam berkenaan hanya lewat sehari membuat bayaran.

Lebih teruk lagi, ahli keluarga anda juga akan turut menerima kesan daripada perbuatan mereka itu. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, anda dinasihatkan untuk membuat laporan polis bagi memudahkan tindakan awal dapat diambil.

Adalah menjadi satu kesalahan jika pemberi pinjaman atau wakil yang menganggu dan mengugut peminjam wang.

Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 29B, Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1951.

Sekiranya didapati bersalah, individu berkenaan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

#5 Dapatkan Bantuan Daripada Badan Bukan Kerajaan

Foto: Facebook PPIM

Tahukah anda, terdapat beberapa Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang boleh membantu mangsa Ah Long?

Agensi-agensi ini boleh menyediakan penyelesaian khusus buat anda yang buntu untuk mencari jalan membayar hutang tersebut. Antara organisasi yang menyediakan perkhidmatan itu adalah;

  • Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
  • Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (PPPPM)
  • Malaysian Chinese Association (MCA)

Cuba elakkan dari menyelesaikan perkara tersebut seorang diri. Anda boleh mencuba untuk mendapatkan perkhidmatan mereka, setidak-tidaknya keselamatan diri terjamin dengan bantuan NGO ini.

Kesimpulannya, buat anda yang telah terjebak dengan hutang Ah Long, cuba untuk selamatkan diri keluar dari cengkaman mereka dengan melakukan lima perkara di atas. Jangan biarkan masalah hutang terutama Ah Long mempengaruhi kehidupan anda.

Bagi mereka yang baru sahaja berniat untuk meminjam daripada Ah Long, cuba elakkan dan cari jalan alternatif lain seperti membuat pinjaman wang berlesen yang boleh dipercayai.

Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Perancangan Kewangan Yang Tidak Patut Anda Abaikan!

Baca Artikel Berkaitan: Tersalah Rumah Simbah Cat, Ah Long Minta Maaf & Tawar Ganti Rugi Pada Owner Rumah

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.