Ini 5 Perancangan Kewangan Yang Tidak Patut Anda Abaikan!
Membeli rumah merupakan antara lima perkara yang perlu diberi perhatian dalam kehidupan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semakin kita menempuh alam dewasa, banyak perkara yang perlu diambil kira dan dititik beratkan dalam kehidupan kita terutamanya perkara yang berkaitan dengan kewangan.
Kenaikan kadar inflasi dan juga kos sara hidup pastinya memberi kesan kepada perancangan kewangan anda dalam kehidupan seharian.
Namun, sepanjang menjalani kehidupan, ada lima perkara yang perlu anda segerakan sebelum terlambat.
#1 Beli Rumah
Memiliki rumah sendiri merupakan satu keputusan yang penting dalam kehidupan kita. Tidak hanya berfungsi sebagai tempat berteduh, rumah juga berperanan sebagai ‘financial backup’ ketika seseorang menghadapi masa sukar.
Walaubagaimanapun, impian untuk memiliki rumah pada masa kini adalah amat sukar bagi sesetengah orang.
Dengan wang pendahuluan yang tinggi dan harga rumah yang mahal, pastinya membuatkan anda berkira-kira membeli rumah idaman.
Bagi mengatasi masalah ini, anda disarankan untuk melakukan semakan dan kajian terperinci sebelum membuat keputusan.
Ia penting agar anda dapat menentukan sama ada anda telah bersedia untuk memiliki rumah atau tidak mengikut kemampuan kewangan anda.
Bagi golongan yang berpendapatan sederhana, cuba semak inisiatif kerajaan dalam membantu anda untuk membuat pembelian rumah. Anda juga disarankan untuk memilih rumah terpakai berbanding yang baharu asalkan anda dapat memiliki rumah sendiri.
#2 Selesaikan Hutang Anda
Menyelesaikan hutang antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam kehidupan anda. Cuba rancang pelan penyelesaian hutang yang lebih realistik dan sesuai dengan poket anda.
Anda disarankan untuk mengurus hutang dengan baik misalnya hutang rumah, kereta dan pendidikan sebelum keadaan menjadi lebih teruk hingga menyebabkan anda tersenarai sebagai salah seorang individu yang muflis di Malaysia.
Cuba juga untuk selesaikan hutang anda dengan lebih cepat dan elakkan daripada dikenakan caj faedah yang tinggi.
Mempunyai sejarah hutang yang baik mampu membuatkan anda memiliki skor kredit yang bagus yang pastinya membantu anda untuk mendapat pinjaman dengan faedah yang lebih baik pada masa hadapan.
#3 Dapatkan Insurans
Kadangkala, perkara yang tidak diduga boleh terjadi dalam kehidupan kita. Tidak hanya berlaku pada diri sendiri dan keluarga, ia juga boleh terjadi pada aset penting seperti rumah dan kereta.
Jadi, bagi melindungi diri anda dari perkara-perkara ini, anda dinasihatkan untuk mengambil insurans perlindungan sepanjang kehidupan anda.
Ini kerana insurans dapat membantu anda dalam keadaan terdesak atau waktu yang tidak dijangka.
Cuba lakukan tinjauan jenis polisi insurans yang ada di pasaran yang sesuai dengan kemampuan anda.
#4 Beralih Kepada Pelaburan
Pada masa dahulu, kita dididik agar menyimpan duit untuk kegunaan masa hadapan. Namun, melihat kepada situasi ekonomi semasa, simpanan itu mungkin tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan dalam kehidupan seharian.
Dengan inflasi dan kejatuhan wang ringgit, anda seharusnya tidak boleh berasa selesa dengan simpanan yang ada.
Cuba laburkan sedikit simpanan anda ke platform pelaburan yang boleh memberi pulangan yang tinggi. Tindakan ini setidak-tidaknya boleh menguntungkan anda melalui pulangan pelaburan yang lumayan.
Apa-apapun, anda perlu membuat persediaan awal berkaitan pelaburan terlebih dahulu. Ia penting agar anda tidak rugi di kemudian hari.
Cuba juga untuk pantau platform-platform pelaburan yang dipercayai seperti Amanah Saham Berhad (ASB) dan Unit Trust yang boleh memberi pulangan menguntungkan kepada poket anda.
#5 Rancang Untuk Persaraan Lebih Awal
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 71% pencarum tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara.
Malah, sebahagian daripada pencarum hanya mampu bertahan tiga hingga lima tahun dengan simpanan persaraan yang ada.
Oleh itu, bagi memastikan simpanan di hari tua anda mencukupi, anda dinasihatkan untuk mencari alternatif lain antaranya seperti mencarum di Skim Persaraan Swasta.
Dengan jumlah yang fleksibel dan insentif seperti pengecualian cukai, skim ini membantu anda untuk membuat simpanan persaraan tambahan bagi kegunaan di hari tua.
Kesimpulannya, anda disarankan untuk memberi keutamaan kepada lima perkara di atas. Ini kerana perkara-perkara tersebut sememangnya memberi pengaruh yang amat besar dalam kehidupan kita.
Mulakan dengan langkah yang kecil sebelum membuat keputusan yang lebih besar. Selamat mencuba!
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Untuk Didik Anak Ilmu Kewangan Mengikut Peringkat Umur
Baca Artikel Berkaitan: Suka ‘Enjoy’ Tapi Tak Tahu Cara Nak Simpan Duit? Ini 5 Tips Yang Anda Boleh Ikut