fbpx
Now Reading
Golongan Muda Lebih Utamakan Perkara Lain Dari Beli Rumah, Kata Pakar

Golongan Muda Lebih Utamakan Perkara Lain Dari Beli Rumah, Kata Pakar

Berdasarkan hasil kajian The Variations In Preferences Of Young Generation In Klang Valley Towards Housing Property Demand yang dijalankan oleh UPM pada tahun 2022 mendapati generasi muda pada masa kini mempunyai komitmen kewangan yang tinggi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak belakangan ini, hangat di media sosial perbincangan mengenai keperluan membeli atau menyewa rumah terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Masing-masing mempunyai pendapat mereka yang tersendiri. Ada yang memilih untuk menyewa, ada yang memilih untuk membeli dan ada juga yang selesa menyewa terlebih dahulu sebelum memiliki kediaman yang diidamkan.

Antara faktor utama yang sering dikatakan menjadi halangan buat golongan muda yang mahu memiliki rumah impian adalah harga kediaman yang tinggi dan gaji bulanan yang rendah.

Namun, menurut Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah/Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohammad Mujaheed Hassan, terdapat juga faktor lain yang turut mempengaruhi individu untuk membeli kediaman.

Generasi Muda Mempunyai Komitmen Kewangan Tinggi

Berdasarkan hasil kajian The Variations In Preferences Of Young Generation In Klang Valley Towards Housing Property Demand yang dijalankan oleh UPM pada tahun 2022 mendapati generasi muda pada masa kini mempunyai komitmen kewangan yang tinggi.

Jelas Mohammad Mujaheed yang turut terlibat dalam penyelidikan itu, 1,697 (67.3%) daripada 2,532 responden yang mempunyai pendapatan bulanan individu daripada RM4,360 hingga RM9,620 mempunyai komitmen ansuran kenderaan antara RM800 dan RM1,200 sebulan.

“Bagi mereka, mempunyai kereta adalah kayu pengukur pencapaian dalam kehidupan. Ironinya, ada antara mereka yang ke tempat kerja menaiki pengangkutan awam, sementara kereta ditinggalkan di rumah,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Manakala, 1,833 responden (72.7%) mempunyai komitmen kad kredit sekurang-kurangnya daripada dua buah bank.

“Memiliki kad kredit adalah satu ‘kewajipan’ buat generasi muda sebagai alternatif untuk sentiasa ‘berduit’ dan sebagai ‘wang pendahuluan’.

“Kajian juga mendapati 843 (33.4%) responden menyewa dengan kadar sewa bulanan antara RM800 hingga RM1,200,” katanya lagi.

Tambahnya, 73.9% responden tidak mempunyai lebihan wang untuk tujuan simpanan atau pelaburan.

Malah, ada di antara mereka yang turut terikat dengan komitmen pinjaman peribadi di mana sebahagian daripada pinjaman tersebut digunakan bagi menampung kos perkahwinan.

Foto: Pexels

Lebih Memilih Untuk Menyewa Atas Pelbagai Faktor

Kajian yang dijalankan terhadap responden berusia 25 hingga 45 tahun di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya itu menunjukkan kebanyakan daripada mereka lebih memilih untuk menyewa atas pelbagai faktor walaupun kadar sewa itu sama seperti memiliki rumah sendiri.

“Kata mereka, ‘lokasi rumah yang boleh dibeli berdasarkan kadar sewa bulanan itu jauh dari tempat kerja, selain perlu menanggung pelbagai bayaran seperti cukai pintu, yuran badan pengurusan bersama dan lain-lain yang akan menambah beban mereka’.

“Dengan menyewa, mereka hanya perlu memikirkan kadar sewa dan bil utiliti. Menurut mereka lagi, rumah yang disewa juga hanya digunakan sebagai tempat berehat dan tidur pada waktu malam. Kebanyakan masa mereka berada di luar rumah dan bekerja,” tambah beliau.

Komitmen Bulanan Tinggi Halang Golongan Muda Memiliki Kediaman

Ujar Mohammad Mujaheed, kecenderungan golongan muda yang lebih mengutamakan perkara lain selain daripada memiliki kediaman menyebabkan ramai antara mereka yang menanggung beban hutang bagi tempoh masa yang agak lama.

Ini sekali gus menghalang mereka untuk membeli rumah walaupun usia semakin meningkat.

“Situasi ini agak serius dan merupakan penyumbang kepada masalah kewangan generasi muda seperti disenarai hitam oleh agensi kewangan, hidup berhutang, bankrap dan mungkin membawa kepada masalah emosi seperti stres, meminjam daripada along dan lain-lain,” katanya.

Foto: Freepick

Perlu Letakkan Pembelian Rumah Sebagai Keutamaan

Tegas Mohammad Mujaheed lagi, golongan muda seharusnya meletakkan pembelian rumah sebagai keutamaan berbanding perkara lain seperti memiliki kenderaan atau pinjaman peribadi kerana kediaman merupakan aset yang tidak mempunyai susut nilai.

“Rumah merupakan aset yang nilainya meningkat setiap tahun. Walaupun tidak salah untuk menyewa, kalau direnungkan, bayaran sewa bulanan itu seolah-olah kita ‘tolong’ pemilik menjelaskan bayaran balik pinjaman perumahannya,” jelasnya.

Sikap golongan muda yang menangguhkan pembelian rumah bagi memenuhi kehendak lain dikhuatiri akan menyebabkan mereka tidak mampu memiliki kediaman pada masa akan datang ekoran harga rumah yang semakin meningkat.

“Konsep ‘tunggu’ atau ‘nantilah kita beli’ sepatutnya dibuang daripada pemikiran generasi muda. Semakin lama menunggu, semakin mahal harga rumah, walhal pergerakan gaji tidak seiring dengan perubahan nilai hartanah atau rumah,” ujarnya.

Bimbang Golongan Muda Jadi Gelandangan

Beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila golongan tersebut berkemungkinan menjadi gelandangan apabila mencecah usia emas.

Walaupun ada di antara mereka yang beranggapan boleh ‘menumpang’ di rumah ibu bapa, beliau berpendapat perkara itu hanya akan tercapai sekiranya ibu bapa mempunyai rumah sendiri.

“Jika tidak, satu keluarga akan berdepan kemungkinan jadi homeless (gelandangan) atau kekal menyewa (dari satu generasi ke satu generasi) kerana tidak berharta,” tegas beliau.

Jelas beliau lagi, golongan itu tidak boleh menggunakan alasan harga rumah yang mahal kerana terdapat skim rumah mampu milik yang ditawarkan oleh kerajaan seperti Rumah SelangorKu, Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

Foto: Freepick

Baca Artikel Berkaitan: 10 Daripada 100 Rakyat Malaysia Beli Rumah Tak Sepadan Dengan Gaji

Baca Artikel Berkaitan: Penganalisis Sifatkan Harga Rumah Di Malaysia ‘Sangat Tidak Mampu Milik’

Baca Artikel Berkaitan: ‘Paling Banyak Tak Laku’ – Kediaman Harga RM500,000 Ke RM1 Juta Paling Banyak Tak Terjual

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.