Boleh Ke Tukar Nama Pada Bil TNB Kepada Nama Penyewa?
Penukaran nama pemilik akaun kepada penyewa akan memindahkan segala tanggungjawab penggunaan dan pembayaran bil elektrik kepada penyewa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular satu berita bahawa penyewa tidak membayar sewa rumah sehingga empat tahun dan mempunyai bil elektrik tertunggak mencecah RM21,000.
Baca Artikel Berkaitan: Penyewa Tak Bayar Sewa Lebih 4 Tahun & Biar Bil Elektrik Tertunggak Lebih RM21,000 Undang Perhatian Ramai
Sehubungan dengan itu, terdapat cadangan agar menukar nama akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada nama penyewa sebelum sewaan bermula.
Dalam masa yang sama, seorang pengguna laman X (@projekhitam) berpendapat bil utiliti perlu dikekalkan di bawah nama pemilik rumah. Ini adalah bagi membolehkan arahan pemotongan servis dilakukan sekiranya penyewa tidak membuat pembayaran.
Sebaliknya, jika bil utiliti diletakkan di bawah nama penyewa, pemilik akan mengalami kesukaran untuk menyuruh mereka keluar dari rumah.
Perlu Perintah Mahkamah Untuk Minta Servis Utiliti Dipotong
Namun begitu, peguam Khalis Johar (@khxlisjohxr) berkata pemilik rumah tidak boleh meminta supaya servis air dan elektrik dipotong tanpa perintah mahkamah walaupun bil diletakkan di bawah namanya.
Oleh itu, dia mencadangkan supaya bil utiliti diletakkan di bawah nama penyewa. Jika terjadinya proses pengusiran, pemilik rumah boleh memohon supaya akaun penyewa ditutup, dan segala tunggakan akan ditanggung oleh penyewa.
Dokumen Penukaran Penghuni Untuk Penyewa
Merujuk kepada laman web TNB, pemilik rumah mempunyai dua pilihan berhubungan servis elektrik digunakan penyewa.
Pemilik boleh menyediakan dokumen Penukaran Penghuni atau Change of Tenancy (COT) sebelum sewaan dilakukan. Melalui perkara ini, penyewa akan bertanggungjawab terhadap bil elektrik, termasuk yang tidak dibayar, sepanjang tempoh dia menyewa.
Pemilik dinasihatkan supaya menukar akaun kepada nama penyewa sebagai pengguna berdaftar. Melalui kaedah ini, pemilik tidak perlu menanggung sebarang tunggakan bil elektrik oleh penyewa.
TNB Tidak Potong Elektrik Di Premis Berkunci
Menurut Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, rekod TNB menunjukkan bahawa terdapat sebilangan pemilik yang menyewakan premis kediaman dan komersial milik mereka kepada individu lain.
Dia berkata penukaran nama pemilik akaun kepada penyewa akan memindahkan segala tanggungjawab penggunaan dan pembayaran bil elektrik kepada penyewa.
Diingatkan bahawa pihak TNB tidak akan melakukan pemotongan bagi premis yang berkunci walaupun ia mempunyai jumlah tunggakan yang tinggi.
Tukar Kembali Nama Setelah Sewaan Tamat
Sebagai info, proses COT boleh dilakukan melalui portal myTNB atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga berhampiran. Penyewa akan menandatangani kontrak baharu dengan pihak TNB.
TNB memaklumkan bahawa nama pemegang akaun boleh ditukar kembali kepada nama pemilik asal setelah sewaan dihentikan atau penyewa baharu jika disewakan kepada individu lain.
Dalam masa yang sama, apabila penukaran nama telah dibuat, permohonan pemotongan bekalan bagi tujuan menamatkan akaun dengan TNB hanya boleh dibuat oleh pengguna semasa.
Selain dari itu, pemilik yang enggan melakukan COT boleh menggunakan e-Services melalui laman web TNB untuk memantau corak penggunaan bulanan dan pembayaran penyewa.
Melalui kaedah ini, pemilik boleh mengambil langkah awal untuk mengelak daripada terpaksa menanggung bil penyewa yang culas membayarnya.
Cara Untuk Tukar Nama Bil TNB
Seorang pengguna Facebook, Hazwan Abdullah, telah membuat perkongsian tentang langkah-langkah menukar nama bil TNB kepada penyewa.
Pertama sekali, pemilik perlu melakukan pendaftaran di portal myTNB, yang boleh digunakan untuk memantau dan membayar bil, serta melihat penggunaan semasa elektrik.
Langkah menukar nama pada akaun dari tuan rumah ke penyewa adalah seperti menukar nama dari pemilik lama ke baharu premis, dengan memerlukan dokumen salinan kad pengenalan dan bukti sewaan.
Pemilik perlu mengisi segala maklumat yang diminta dan akan menerima email pengesahan untuk membuat penukaran nama.
Selang satu atau dua hari, pegawai TNB akan menghubungi pemilik untuk mengesahkan permohonan.
Kemudian, TNB akan menghantar email yang mengandungi nombor akaun baharu dan lampiran deposit yang perlu dibayar. Proses penukaran nama selesai setelah pembayaran dilakukan.
Hazwan berkata pemilik akan memilih tarikh akhir bacaan meter bagi akaun lama. Segala penggunaan elektrik sebelum tarikh tersebut akan ditolak daripada pembayaran deposit pemilik. Penggunaan elektrik kemudiannya akan dicaj kepada akaun baharu.
Megat Jalaluddin menggalakkan pengguna untuk menghubungi TNB CareLine di talian 1300-88-5454 bagi sebarang pertanyaan atau menempah janji temu untuk ke Kedai Tenaga di https://www.mytnb.com.my/tnbtemujanji.