fbpx
Now Reading
“Terlalu Ikutkan Kehendak Mereka”- Ini Antara Kesilapan Ibu Bapa Lakukan Ketika Mendidik Anak

“Terlalu Ikutkan Kehendak Mereka”- Ini Antara Kesilapan Ibu Bapa Lakukan Ketika Mendidik Anak

Antara kesilapan yang dilakukan adalah membuiarkan anak bebas menggunakan media sosial dan menonton rancangan yang mempunyai pengaruh negatif.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan bergelar ibu bapa dan mempunyai anak merupakan impian kepada kebanyakan pasangan.

Melihat anak-anak membesar merupakan antara momen indah di dalam hidup setiap yang bergelar ibu bapa. Namun tugas membesarkan anak bukanlah mudah kerana ibu bapa juga berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik mereka untuk menjadi seorang insan yang berguna.

Malah adakalanya kita mungkin mencontohi ibu bapa sendiri ketika mendidik anak yang belum pasti ia adalah satu kaedah yang betul atau sebaliknya.

Penulis yang juga Pengasas Khusyuk Parenting, Mohd Fhais Salim turut berkongsi beberapa kesilapan yang dilakukan para ibu bapa termasuk dirinya dalam mendidik anak-anak.

Kata Fhais dalam satu hantaran di Facebook, kesilapan yang dilakukan itu turut membuatkan dia berasa kesal.

Oleh itu, jom kami kongsikan antara kesilapan yang dilakukan agar anda dapat mengubahnya kepada sesuatu yang lebih baik.

#1 Mendidik secara paksaaan

Foto: Pexels

Tak dinafikan segelintir ibu bapa gemar menakut-nakutkan, ugutan, rasuah, paksaan atau hukuman kepada anak untuk menuruti apa yang anda katanya.

Namun cara ini adalah kurang bagus, sebaliknya cuba berikan pendekatan yang positif seperti motivasi, ganjaran, ajakan, insipirasi serta teladan kepada mereka. Melalui ini mereka mungkin akan memahami sebab dan kesan yang akan berlaku jika mereka melakukan sesuatu perkara.

#2 Tak menjaga pemakaian di rumah

Kita pasti sering kali mendengar orang mengatakan penampilan adalah penting, sebenarnya ia tidak hanya penting untuk dijaga ketika keluar sebaliknya ia perlu dititik beratkan bermula dari rumah.

Pendedahan kepada pemakaian yang baik dan sopan akan memberikan penanda aras kepada anak apabila mereka besar nanti.

#3 Bertengkar atau bergaduh di depan anak & tak tegas

Foto: Pexels

Sebagai ibu bapa anda tidak sepatutnya bertengkar mahupun bergaduh apabila berada di hadapan anak-anak. Ini kerana pertengkaran di hadapan mereka mungkin boleh menganggu emosi si kecil.

Malah ketika fasa membesar adalah proses mereka sedang meniru setiap apa yang dilakukan oleh individu di sekeliling. Tindakan bertengkar di hadapan mereka mungkin boleh mempengaruhi tingkah laku si kecil.

Selain itu sebagai ibu mahupun bapa anda perlu mempunyai sikap tegas terhadap segelintir perkara. Jangan terlalu mengikuti setiap kehendak mereka.

#4 Kebebasan di media sosial tanpa batasan & biarkan anak menonton rancangan yang bawa pengaruh negatif

Mempunyai media sosial bukanlah suatu kesalahan malah mereka mungkin mendapat ilmu atau manfaat daripadanya.

Sebagai contoh di TikTok banyak konten yang memberi manfaat kepada anak-anak namun penggunaan tanpa kawalan adalah membahayakan.

Ini kerana, sebagai ibu bapa kita perlu mengetahui kandungan apa yang dilihat oleh si kecil. Jika dibiarkan tak tahu video atau gambar apa yang akan mereka lihat bimbang jika perkara itu memberikan kesan tak baik kepada mereka.

Perkara ini sama juga jika anda membiarkan anak untuk menonton rancangan di televisyen, pastikan ia tidak mempunyai sebarang unsur negatif.

#5 Ikutkan kemahuan kerana malas lihat anak menangis, serta terlalu lembut

Foto: Pexels

Anak yang kecil belum pandai mengurus atau mengawal emosi mereka. Oleh itu, mereka akan menangis, marah atau membentak-bentak sekiranya tidak dapat apa yang diingini.

Manakala kita sebagai ibu bapa pula adakalanya tidak mahu mendengar mereka menangis dan tantrum maka setiap kemahuan dituruti agar tiada adegan pujuk memujuk, marah dan sebagainya berlaku.

Cuba berunding, perkara ini secara tidak langsung membantu mereka untuk memahami mengapa sesuatu perkara itu tidak dibenarkan.

Sebagai contoh anak menangis mahukan gula-gula, justeru anda boleh menasihati mereka bahawa gula-gula adalah makanan yang tidak sihat dan kesan kepada pemakanan gula kepada kesihatan gigi.

Cuba untuk tunjukkan apa yang akan berlaku jika gigi menjadi rosak disebabkan gula-gula, dari situ mereka akan mula memahami dan proses rundingan selepas ini mungkin akan menjadi lebih mudah.

Jangan beritahu mereka sesuatu perkara itu tidak boleh dilakukan tanpa sebab yang kukuh. Ini kerana mereka sama seperti kita, mahukan jawapan pada setiap soalan.

Selain itu jangan terlalu berlembut seperti hanya menurut apa yang diinginkan sehingga anak boleh mengarah-arahkan ibu bapa.

Di sinilah sikap tegas perlu diaplikasikan supaya anak tahu ibu bapa merupakan individu yang perlu mereka hormati.

#6 Amalkan micromanage

Setiap anak mempunyai tahap kendiri pada usia yang berbeza-beza, namun kita perlu melatih mereka untuk mula menguruskan diri secara berperingkat.

Contohnya anak yang berusia 2 tahun sudah boleh mendengar arahan, maka anda boleh meminta mereka untuk membantu membersihkan mainan mereka setiap kali selesai bermain.

#7 Tak bertanggungjawab dengan emosi sendiri

Tingkah laku anak-anak adakalanya membuatkan emosi ibu bapa terganggu serta mudah untuk marah.

Namun sebagai ibu bapa anda tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata seperti ‘jangan buat ibu marah!’. Yelah kita ini hanyalah manusia biasa yang adakalanya tercabar juga kesabaran apabila melihat keletah mereka namun penggunaan ayat ini adalah tidak sesuai.

#8 Mendidik ikut mood

Foto: Pexels

Usah didik anak mengikut mood anda, contohnya anda melayan mereka dengan baik ketika gembiara namun sering kali memarahi mereka apabila mood anda berada di tahap sebaliknya.

Perkara ini membuatkan anak-anak keliru dengan ibu bapa. Benar menjadi ibu bapa tak mudah namun tidak kira dalam apa situasi anda tidak boleh melayan mereka mengikut mood anda.

#9 Hanya fokus kepada akademik

Pendidikan tidak hanya pada akademik semata-mata sebaliknya didikan agama juga penting kepada anak-anak.

Kita tidak mahu mereka hanya berjaya di dalam akademik, tetapi mempunyai perangai yang teruk kerana kurangnya didikan agama serta rohani.

Ajar mereka mengenali agama, adab dan individu yang patut dicontohi ini kerana ia secara tidak langsung akan membentuk sahsiah anak untuk menjadi lebih baik.

#10 Tak hidupkan gaya hidup islamik di rumah

Foto: Pexels

Anak-anak umpama kain putih yang bersih dan ibu bapalah yang memainkan peranan untuk mencorakkannya.

Sebagai umat Islam kita perlu mengamalkan gaya hidup yang selari dengan sunnah Rasullullah SAW dan berpandukan al-Quran. Maka sebagai ibu bapa anda perlu menerapkannya kepada anak-anak bermula dari sekecil-kecil langkah.

#11 Jarang berbual dan tak pernah peluk dan cium anak

Foto: Pexels

Anak-anak juga mempunyai isi hati yang perlu didengari oleh ibu bapa. Cuba berbual dengan mereka contohnya sebelum mereka tidur. Antara perkara yang boleh dibualkan adalah bagaimana hari mereka, cita-cita dan impian, perkara yang mereka minat serta banyak lagi.

Tunjukkan kasih sayang melalui perbuatan bukan hanya sekadar kata-kata seperti memeluk dan mencium mereka ketika ingin ke sekolah, waktu tidur, atau ketika keadaan tertentu.

Ini menunjukkan anda prihatin kepada apa yang berlaku kepada mereka selain memberikan kepercayaan ibu bapa merupakan insan yang tepat untuk mereka berlindung.

Setiap yang dikongsikan ini mungkin anda sebagai ibu bapa ada melakukannya, namun masih belum terlambat untuk anda mengubahnya untuk kebaikan bersama anak-anak.

Menyayangi anak sahaja tidak cukup, tetapi didiklah mereka dengan didikan yang diperlukan agar mereka terus membesar menjadi anak yang soleh dan solehah serta berguna kepada negara dan masyarakat.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.