fbpx
Now Reading
Penting Untuk Ibu Bapa Tahu! Ini 5 Perkara Yang Tak Patut Dilakukan Kepada Bayi

Penting Untuk Ibu Bapa Tahu! Ini 5 Perkara Yang Tak Patut Dilakukan Kepada Bayi

Antara perkara yang tak patut dilakukan kepada bayi adalah jangan berikan air kosong atau air masak kepada bayi yang berusia bawah enam bulan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kehadiran cahaya mata merupakan antara momen yang sering dinantikan oleh setiap pasangan.

Malah sebagai persediaan menyambut kedatangan si comel, pasti ibu bapa akan membuat persiapan dari segi kelengkapan bayi termasuklah persediaan fizikal dan mental.

Ada juga bakal ibu bapa yang akan menghadiri kelas selain mendapatkan nasihat daripada pihak yang sudah berpengalaman antaranya ibu bapa dan rakan-rakan.

Walau bagaimanapun pendapat dan kepercayaan yang diberikan adalah berbeza-beza. Bahkan ada segelintir pendapat atau petua itu mungkin kurang sesuai atau bercanggah daripada sudut pandangan perubatan.

Perkara ini kadangkala membuatkan ‘new mommies’ buntu sehingga tidak tahu siapa yang perlu diikuti namun usah bimbang, kami mempunyai beberapa senarai perkara yang tidak patut anda lakukan kepada si comel.

Tanpa berlengah lagi jom kami mulakan.

#1 Jangan beri bayi minum air masak

Foto: Pexels

Sekiranya anda baru melahirkan bayi, jangan pernah sesekali memberikan si comel minum air masak. Malah perkara ini kebiasaannya sering diberitahu oleh para doktor.

Ini kerana bayi yang baru lahir hanya boleh minum susu ibu atau susu formula sahaja. Jangan pernah terpedaya sekiranya ada yang meminta anda untuk memberikan air kosong kepada bayi dengan alasan mereka masih haus.

Ini kerana susu ibu atau susu formula sudah cukup untuk membuatkan bayi hidrasi dan mendapatkan nutrien yang cukup.

Tindakan memberikan air kosong kepada bayi boleh mengundang kesan buruk seperti water intoxication dan boleh menyebabkan kematian.

Bayi yang baru lahir mempunyai organ yang belum lagi matang termasuklah buah pinggang mereka. Oleh itu air yang berlebihan akan menyebabkan mereka mengalami hyponatreamia yang akan menjejaskan fungsi otak.

Bilakah waktu anak boleh minum air kosong? Menurut Hello Doktor, bayi boleh mula minum air kosong apabila menginjak usia enam bulan ke atas.

Namun hanya berikan sedikit sahaja kerana ia mungkin boleh menyebabkan mereka sakit perut atau terlalu kenyang. Selepas setahun dan si manja sudah mula makan makanan pejal serta minum susu maka air kosong boleh diberikan mengikut permintaan mereka.

#2 Jemur bayi di bawah sinaran matahari untuk kurangkan kuning

Foto: Pexels

Bayi terkena jaundis (kuning) sewaktu baru lahir merupakan perkara yang normal. Ia berlaku disebabkan kehadiran pigmen ‘bilirubin’ yang berlebihan dalam darah yang kemudiannya mendap pada kulit bayi dan ia secara tidak langsung menunjukkan warna kuning pada si comel.

Namun apabila berlakunya jaundis ramai ibu bapa akan mula risau, dan bimbang ia berlarutan. Maka pelbagai petua akan dicuba antaranya dengan menjemur bayi di bawah sinaran matahari.

Sebenarnya ini adalah mitos yang dipercayai zaman dahulu dan ia tidak memberikan sebarang kesan sebaliknya akan memburukkan keadaan di mana bayi boleh mengalami dehidrasi.

Selain itu kulit bayi yang nipis akan menjadi sakit disebabkan sinaran matahari yang terik. Malah kasihan juga kepada bayi kerana terpaksa berpanasan.

Apa yang para ibu perlu lakukan apabila anak jaundis adalah kerap susukan si comel dan makan makanan berkhasiat.

Selain itu, lakukan rawatan fototerapi yang menggunakan sinaran ultraviolet untuk menukarkan pigmen bilirubin yang termendap pada kulit si manja untuk menjadi sebatian yang larut air dan mudah disingkarkan menerusi najis.

Buat rawatan susulan seperti pemeriksaan darah untuk mengukur tahap jaundis bayi dan dapatkan nasihat doktor.

#3 Jangan berikan madu kepada bayi bawah umur satu tahun

Madu sememangnya makanan berkhasiat namun ia tidak boleh diberikan kepada bayi yang berusia satu tahun kebawah kerana si manja boleh dijangkiti bakteria Clostridium Botulinum yang terdapat di dalam madu.

Untuk makluman anda, pengambilan madu kepada orang dewasa dan bayi adalah tidak sama. Ini kerana usus individu dewasa telah berkembang sepenuhnya berbanding kanak-kanak.

Jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan si comel mengalami Hypotonia iaitu otot lemah sehingga boleh menyebabkan kanak-kanak paralisis.

#4 Makanan tinggi kandungan garam dan gula

Foto: Pexels

Apabila bayi sudah berusia enam bulan dan ke atas, kebiasaannya si comel anda sudah bersedia untuk mencuba makanan selain susu ibu dan formula. Maka sebagai ibu pasti anda teruja untuk membuat pelbagai resipi untuk diberikan kepada bayi.

Namun elakkan daripada memberikan makanan yang tinggi kandungan garam dan gula contohnya nuget, sosej, makanan berproses, kerepek, minuman manis atau bergas, jus, biskut dan banyak lagi.

Sebaliknya cuma gunakan perasa semula jadi untuk memberi rasa kepada makanan bayi.

Sebagai contoh serbuk ikan bilis sebagai penganti garam, berikan buah-buahan untuk anak terokai rasa manis, masam dan sebagainya.

Namun setiap makanan yang ingin diberikan hendaklah melihat kepada keadaan bayi, jika mereka belum mempunyai gigi atau gusi yang kuat elakkan memberikan sesuatu yang terlalu keras untuk dimakan bagi mengelakkan bayi tercekik.

#5 Jangan benarkan orang lain mencium bayi

Foto: Pexels

Sudah menjadi kebiasaan banyak pihak akan mencium bayi sebaik berjumpa dengannya. Malah wajah yang comel membuatkan ramai tidak dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan tersebut.

Sebagai ibu bapa kadang kala anda sukar untuk memberitahu kepada orang luar untuk tidak mencium bayi anda kerana bimbang jika ada yang terasa hati.

Namun harus diingatkan tindakan ini adalah perlu demi melindungi bayi anda daripada terkena sebarang jangkitan yang dibawa oleh orang lain. Ini kerana bayi atau kanak-kanak mempunyai sistem imuniti yang rendah.

Menurut Hello Doktor, terdapat tiga virus yang boleh menjangkiti bayi daripada ciuman orang lain iaitu Mononucleosis, kayap bunga (HSV) dan bakteria Streptococcus yang boleh menyebabkan perepubatan gigi awal.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.