Mufti Perjelas Situasi Jika Musafir Ke Negara Yang Puasa Lambat Sehari & Lewat Sambut Aidilfitri
Perkara ini berlaku kerana penampakan anak bulan Ramadan yang berbeza di setiap negara.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum sedia maklum, tempoh mula berpuasa di seluruh dunia tidak sama berikutan kedudukan anak bulan dan tempoh siang dan malam yang berbeza.
Sebagai contoh masyarakat di negara Arab berpuasa sehari lebih awal berbanding di Malaysia selepas melihat posisi anak bulan yang menunjukkan petanda sudah memasuki bulan Ramadan.
Kebiasaannya tempoh berpuasa adalah sekitar 29 ke 30 hari di bulan Ramadan. Tetapi adakah boleh berlaku situasi di mana seseorang perlu berpuasa selama 31 hari?
Kalau nak tahu, jom baca perkongsian di bawah.
Apa Perlu Buat Jika Bermusafir Di Negara Yang Lewat Sambut Aidilfitri?
Menerusi sumber dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan, seorang individu tampil mengajukan persoalan mengenai pengalamannya berpuasa awal sehari ketika mengerjakan ibadah umrah di kota Mekah sebelum pulang ke Malaysia.
Persoalannya, adakah individu ini perlu berpuasa pada hari ke-31 sekiranya Malaysia menyambut Syawal lebih lewat berbanding di negara Arab?
Mesti ramai yang tertanya-tanya juga kan?
Perkara ini diperjelaskan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan menerusi beberapa panduan dari hadis dan ayat al-Quran tentang penampakan anak bulan.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعَدَدَ
Maksudnya: Berpuasalah sekiranya kamu melihatnya (anak bulan) dan berbukalah Berhari raya) sekiranya kamu melihatnya (anak bulan). Sekiranya cuaca mendung, maka sempurnakanlah bilangan harinya (tiga puluh hari). [Riwayat Muslim (1081)]
Bagi situasi yang menjadi pertanyaan seorang individu sebelum ini, perkara tersebut dijelaskan oleh Imam al-Nawawi menerusi hadis berikut:
وَإِذَا لَمْ نُوجِبْ عَلَى الْبَلَدَ الْآخَرِ فَسَافَرَ إلَيْهِ مِنْ بَلَدِ الرُّؤْيَةِ فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ يُوَافِقُهُمْ فِي الصَّوْمِ آخِرًا، وَمَنْ سَافَرَ مِنْ الْبَلَدِ الْآخَرِ إلَى بَلَدِ الرُّؤْيَةِ عَيَّدَ مَعَهُمْ وَقَضَى يَوْمًا.
Maksudnya: Sekiranya sesuatu negara yang tidak kami wajibkan berpuasa (kerana tidak melihat anak bulan), lalu seseorang musafir yang datang daripada negara yang melihat anak bulan (seseorang yang berpuasa) ke negara tersebut, maka menurut pendapat yang sahih, hendaklah dia mengikut penduduk negeri tersebut berpuasa pada hari terakhir. Begitu juga seseorang yang bermusafir dari negara yang lewat berpuasa ke negara yang berpuasa awal, maka dia hendaklah berhari raya bersama penduduk negara tersebut (iaitu tidak boleh berpuasa walaupun belum mencukupi 29 hari berpuasa) dan kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya satu hari (bagi mencukupi jumlah minima sebulan berpuasa iaitu 29 hari).
Situasi ini juga pernah dibangkitkan oleh Imam al-Syirbini jika seseorang sudah berpuasa selama 30 hari sebelum bermusafir ke negara yang masih berpuasa lagi pada keesokan harinya.
Beliau menjelaskan dalam satu hadis bahawa:
(فِي الصَّوْمِ آخِرًا) وَإِنْ كَانَ قَدْ أَتَمَّ ثَلَاثِينَ؛ لِأَنَّهُ بِالِانْتِقَالِ إلَى بَلَدِهِمْ صَارَ وَاحِدًا مِنْهُمْ فَيَلْزَمُهُ حُكْمُهُمْ
Maksudnya: (Pada hari terakhir) walaupun sudah lengkap (puasanya) tiga puluh hari, kerana ia telah berpindah ke negara mereka, maka dia telah menjadi sebahagian daripada mereka. Oleh itu hendaklah dia mengikuti hukum mereka.
Kesimpulan
Secara ringkasnya, mereka yang mula berpuasa di negara lain kemudiannya bermusafir di negara lain yang memulakan ibadah puasa lewat sehari, maka individu berkenaan perlu mengikut cara masyarakat tempatan di sana yang masih berpuasa.
Perkara ini perlu diikuti walaupun individu berkenaan sudah berpuasa penuh selama 30 hari dan menjadikan tempoh dirinya berpuasa sehingga 31 hari.
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Sengaja Cari Jalan Jauh Untuk Cukupkan Syarat Solat Qasar? Ini Penjelasan Dari Mufti
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Hutang Belum Lunas, Umat Islam Tak Boleh Solat Jamak & Qasar. Ini Penjelasan Sebenar