Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Setiap rakyat Malaysia yang hidup di perantauan pasti akan berasa teruja dan gembira jika ada terjumpa apa sahaja perkara yang berkait rapat dengan negara kita.
Baik dari makanan, restoran, hinggalah barangan, ia sedikit sebanyak dapat mengubat rindu mereka pada tanah air yang tercinta.
Terbaru sekumpulan pelajar Malaysia di Scotland menjadi teruja selepas terjumpa sebuah Perodua Myvi generasi pertama di negara itu.
Mungkin kerana terlalu teruja dengan penemuan tersebut, pelajar berkenaan dilihat tidak melepaskan peluang untuk bergambar di samping Raja Jalanan itu yang diparkir di bahu jalan bandar Edinburgh.
Foto berkenaan yang dimuat naik seorang pengguna Facebook, Mahziah Ramly, ibu kepada salah seorang dari mereka di grup Facebook ‘Myvi Club Malaysia (Official)’ nyata mencuri perhatian orang ramai.
Difahamkan anaknya, Irfan Zulkiflee menjadi lebih teruja memandangkan dia turut memiliki kereta yang sama di Malaysia.
“Anak saya yang study di Edinburgh hantar gambar ni.
“Seronok katanya hilang rindu pada kereta Myvinya yang warna biru kat Malaysia bila lihat ada Myvi ni di Scotland,” tulis Mahziah sambil meletakkan tag kepada Irfan.
Sekadar info, Perodua sekitar 90-an pernah mengeksport kereta keluaran mereka antaranya Myvi, Kelisa, Kenari dan Nippa (Kancil) untuk pasaran di United Kingdom.
Namun mereka membuat keputusan untuk menamatkannya pada tahun 2010 disebabkan beberapa faktor.